ARTIKEL SEBELUM

11/02/11

Fokus kepada umat Islam, kenapa prejudis?




PETALING JAYA: Walaupun menerima pelbagai tentangan dan kritikan hebat, namun PAS akan meneruskan rancangan menggerakkan operasi membendung kegiatan tidak bermoral ketika sambutan Hari Valentine pada 14 Februari ini.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi berkata wujud salah faham berhubung cadangan itu sehingga menerima tentang daripada pelbagai pihak terutama rakan parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata cadangan agar pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan polis dan Rela bukan bermakna mencampuri urusan pentadbiran di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya bersifat tawaran kerjasama.

“Mereka salah faham…saya tawarkan kerjasama bukan mengarahkan kerajaan negeri berbuat sedemikian. Saya bukan Perdana Menteri atau Menteri Besar untuk beri arahan.

“Saya tidak jahil tentang bidang kuasa sesuatu kerajaan tetapi dewan pemuda PAS tetap dengan pendirian akan turun dan berdakwah. Maka kami akan tetap turun ke seluruh negara untuk sebarkan risalah tanda dakwah kami,” katanya ketika dihubungi FMT lewat petang semalam.

Nasrudin sebelum ini dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan di negeri Pakatan Rakyat diarah bekerjasama dengan polis dan rela bagi menghadapi Hari Valentine yang jatuh pada Isnin depan.

Katanya, pemuda PAS sedia bekerjasama agar kegiatan tidak bermoral ini dapat dibendung.

Cadangan itu juga mencetuskan tentangan oleh beberapa pemimpin DAP sehingga tercatat di laman twitter mahupun kenyataan yang disiarkan oleh media hari ini.

Mereka buat-buat tidak faham

Ketika ditanya mengenai kritikan itu, beliau berkata “mereka buat-buat tidak faham”.

Menurut beliau tiada asas bagi pemimpin DAP mahupun kerajaan Persekutuan mengkritik cadangan tersebut.

“Ada fatwa yang digazetkan setiap tahun bermula 2005 bahawa sambutan Valentine ini dilarang pada hari ini kerana ia mempromosi gejala sosial yang kurang baik. Kerja ini kami fokus kepada umat Islam kenapa mesti prejudis?

“Ini bukan salah faham tapi nampaknya mereka buat-buat tidak faham….jika saya mahu buat pemeriksaan saya bukan polis. Malah apa yang kami lakukan bukan benda baru.

Contohnya jika saya nak suruh polis tangkap orang yang buat maksiat, munasabah ke? Kami tiada kuasa malah jika kami arahkan kerajaan negeri untuk buat itu ini munasabah ke? Itulah saya kata tiada asas atau logiknya untuk mereka kritik,” jelas beliau.

Sayap pemuda DAP yang diketuai oleh Anthony Loke melahirkan rasa tidak setuju terhadap pendekatan Nasrudin untuk melakukan ‘pemeriksaan tidak bermoral’ terhadap pasangan pada sambutan Hari Kekasih.

Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang Teng Chang Khim melalui laman Twitter, turut menentang cadangan Nasrudin sambil menulis “tutup mulut anda”.

Tugas dakwah diwarisi
Sementara itu, beliau turut membidas kenyataan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dalam sebuah online portal hari ini bahawa cadangannya itu bersifat kerja peribadi.

Katanya, tugas itu telah diwarisi sejak zaman ketua pemuda PAS terdahulu seperti Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar.

“Ini bukan kerja peribadi sebab saya mewarisi sejak zaman Salahuddin, mahfuz inilah kerja saban waktu..saban tahun. Kami jadi duta penyelamat dan kasih sayang untuk selamatkan ummah agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral. Tidak betul pandangan beliau,” katanya.- FMT

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud