ARTIKEL SEBELUM

10/02/11

DUN Pelabuhan Klang: Speaker cabar permohonan

Atas dasar mempunyai imuniti sebagai speaker dewan undangan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman ke atas beliau berhubung status kerusi Pelabuhan Klang, lapor TV Selangor.

NONEDalam permohonan itu, Teng juga berkata kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Selangor adalah hak beliau, bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, Badrul Hisham Abdullah yang berpaling tadah meninggalkan PKR mendakwa beliau masih lagi ADUN Pelabuhan Kelang walaupun Teng selaku speaker sudah mengistiyharkan kerusi itu kosong. Ini berikutan kegagalan Badrul hadir sidang DUN tanpa alasan kukuh.

Badrul Hisham menamakan Teng dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua dalam permohonannya yang difailkan bulan lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Saya dilindungi imuniti yang diperuntukkan oleh Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan daripada diambil tindakan oleh plaintif,” kata Teng dalam afidavit balas dikemukakannya di mahkamah hari ini.

Katanya, Artikel 77 perlembagaan Selangor juga memberikannya imuniti daripada disaman atas kapasiti sebagai seorang speaker.

NONETeng berkata, kedua-dua undang-undang persekutuan dan negeri menyokong doktrin pengasingan kuasa antara dewan undangan negeri dan mahkamah.

Oleh itu, keputusannya sebagai speaker tidak boleh dicabar di mahkamah, kata Teng.

“Selaras dengan itu, saya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah,” katanya.

Tambahnya, kes yang dibawa Badrul Hisham (atas, kiri) tiada asas perundangan dan satu bentuk salah guna kuasa.

Oleh itu beliau meminta mahkamah menolak permohonan ADUN Pelabuhan Kelang itu.

Teng diwakili oleh peguam Tommy Thomas.

Beliau telah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu dan telah meminta diadakan satu pilihan raya kecil.

NONEDi bawah Artikel 69 Undang-undang Tubuh Negeri, Teng berkata, kuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi terletak pada Speaker, dan bukannya SPR.

Katanya, disebabkan itu dan disokong oleh Artikel 70(5) perlembagaan negeri, SPR tiada pilihan lain kecuali memanggil pilihan raya kecil dalam 60 hari.

Isnin lalu, Badrul Hisham mendapat injunksi sementara menghalang SPR daripada membincangkan status kerusi itu berikutan perisytiharan kekosongannya oleh Speaker DUN Selangor pada 19 Januari lalu.

Berikutan keputusan itu, SPR tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat atau membuat keputusan berhubung pilihan raya kecil DUN Pelabuhan Klang sehingga 17 Februari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof membenarkan permohonan injunksi sementara dipohon Badrul Hisham pada 28 Januari lalu, selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said mewakili SPR dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk Badrul Hisham.

Pada tarikh 17 Februari ini, mahkamah akan mendengar saman pemula terhadap Teng dan SPR yang difailkan Badrul Hisham pada 24 Januari lalu.- mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud