ARTIKEL SEBELUM

14/02/11

DAP dakwa kontroversi Hari Kekasih permainan politik BN

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa kontroversi sambutan Hari Kekasih baru-baru ini adalah mainan politik Barisan Nasional (BN) yang mahu menimbulkan kebencian antara kaum dan agama negara ini.

Beliau berkata tindakan melabelkan ajaran Kristian sebagai “tradisi berdosa” adalah satu tuduhan tidak bertanggungjawab dan biadap.

“Jelas sekali ada pihak tertentu yang cuba mencari populariti di kalangan umat Islam dengan menjalankan kempen anti-Hari Kekasih seakan-akan satu kempen menyelamatkan Islam daripada dosa-dosa yang diamalkan di kalangan bukan Islam.

“Jelas sekali, ini adalah suatu permainan politik BN dengan taktik talam dua muka untuk menimbulkan kebencian di kalangan kaum dan agama masing-masing,” katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Tahun Arnab Anjuran PKR Cabang Tanjung hari ini.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini.

Tambah Ketua Menteri Pulau Pinang itu, sikap talam dua muka yang dimainkan BN itu berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat yang sentiasa bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Sandiwara talam dua muka BN ini berlainan dengan Pakatan Rakyat yang bertindak adil kepada semua kaum dan agama dengan mempromosikan kesederhanaan, kesefahaman, dan saling hormat-menghormati serta bantu-membantu di antara satu sama lain.

”Sekiranya mereka (BN) ingin mempertahankan Islam, mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN yang menyerang calon wanita PAS sebagai ekstremis kerana calon wanita itu memilih untuk tidak salam dengan kaum lelaki? Mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN sama yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik?” soal Lim.

Jelas beliau, Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari bukan sebahagian daripada fahaman dan ajaran Kristian.

Sebaliknya, beliau berkata ia adalah satu amalan popular yang tidak menggalakkan perbuatan zina.

“Jelas sekali permainan perkauman dan ekstremis ini bertujuan untuk pecah-belahkan rakyat dengan melaga-lagakan antara agama agar pemimpin BN boleh terus memerintah dan skandal rasuah yang kian berleluasa,” katanya.

Justeru, Lim menggesa rakyat supaya menolak tuduhan yang berbaur perkauman yang melabelkan orang bukan Islam sebagai berdosa.

“Khususnya dalam media yang dikuasai BN, kerana menyebarkan maklumat palsu bahawa amalan tradisi Kristian dan Hari Kekasih adalah berdosa.

“Pada masa yang sama ada pemimpin BN yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik,” katanya sambil menegaskan Pakatan Rakyat berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa kesederahaan adalah keadilan.

Kelmarin Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Bersandarkan beberapa hujah yang jelas, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Wan Mohamad berkata, “amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”- tmi

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud