ARTIKEL SEBELUM

14/02/11

Anwar akui miliki perniagaan di AS




SHAH ALAM - "Salahkah mempunyai perniagaan di luar negara?"

Demikian tegas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas kenyataan bekas Setiausaha Sulitnya, Muhamad Rahimi Osman yang mendedahkan beliau memiliki sebuah firma perniagaan yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

Namun Anwar mengakui memiliki syarikat berkenaan dinamakan Anwar Ibrahim Consulting Associate yang berperanan merancang segala kegiatan dan aktivitinya di luar negara.

"Mana-mana warga Malaysia berhak berusaha demi mencari rezeki yang halal di dalam ataupun di luar negara. Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan pada akhir 2004 hingga 2008," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian melalui anaknya, Nurul Izzah Anwar yang diminta mengulas dakwaan Rahimi dalam ceramahnya di Kampung Jalan Kebun, di sini, Rabu lalu.

Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 November 1998, Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya terhadap sabitan tuduhan liwat dan dibebaskan pada 2004 sebelum menjadi profesor pelawat di Universiti Georgetown, AS.

Dalam ceramah berkenaan, Rahimi mencabar bekas ketuanya itu mendedahkan sumber kewangan yang diperoleh untuk mengendalikan pejabat yang didakwa menelan kos operasi kira-kira RM6 juta (AS$2 juta) setahun dan mengajikan lima orang pekerja di antaranya warga Pakistan dan Turki.

Kesemua mereka menetap di AS dengan gaji dalam mata wang negara itu mencecah lima angka sebulan.

Rahimi mendakwa, sepanjang perkhidmatannya bersama Anwar, dia mengetahui banyak rahsia ketua umum itu dan akan mendedahkannya satu persatu termasuk hubungan Anwar dengan pertubuhan-pertubuhan Yahudi.

Bagaimanapun, Anwar mempertikaikan tindakan anak buahnya yang mendedahkan butiran syarikatnya tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh.

"Kenapa sengaja fitnah dibuat tanpa bukti kukuh? Ini hanya omong-omong kosong begini berbanding ratusan syarikat yang bergelumang dengan penglibatan UMNO dan penggunaan kuasa kerajaan untuk mendapatkan kontrak tidak pula disentuh," katanya. sinar

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud