KELANA JAYA: Kegiatan ‘bar korek’ atau ‘ringan-ringan’ di sebuah pusat hiburan karaoke dan kafe di Taman Bukit Mayang Emas, dekat sini, semakin berani dengan terus menjalankan perniagaan haram itu walaupun diserbu polis beberapa kali.
Bagi tahun ini saja, premis yang tidak mempunyai lesen itu sudah dua kali diserbu dan ini tidak termasuk serbuan pada tahun sebelumnya.
Pelayan pelanggan (GRO) pusat hiburan terbabit pula semuanya terdiri daripada wanita warga asing berusia 20 hingga 32 tahun dan mereka turut dikesan menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM100 untuk sekali perkhidmatan.
Dalam serbuan terbaru dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Petaling Jaya, kira-kira jam 7 malam kelmarin, 13 wanita warga asing yang asyik melayan pelanggan diberkas termasuk seorang yang melakukan hubungan seks dalam bilik khas.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata pihaknya sudah berulang kali membuat serbuan di premis itu, namun ia terus beroperasi tanpa takut dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, serbuan kali ini berjaya menahan enam wanita warga Indonesia, lima warga Vietnam dan masing-masing seorang warga China dan Kemboja. Daripada jumlah itu, 10 daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan, manakala tiga lagi didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Dua lelaki penjaga premis warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan, selain seorang pelanggan warga Bangladesh dibawa ke balai kerana tidak mempunyai pasport,” katanya.-metro