Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu BN khususnya MCA mengekploitasi isu calon PAS Normala Sudirman tidak mahu bersalam dengan lelaki.
Malah, Muhyiddin turut menegaskan bahawa beliau juga tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan".
"BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada
pengundi untuk membuat penilaian kerana (beliau) mungkin (bertindak) atas sebab-sebab tertentu.
"Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan beliau (Normala). Tetapi apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," katanya dalam satu sidang media di Tenang.
Muhyiddin mengulas mengenai isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki dalam kempen pilihan DUN Tenang yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Beliau yang juga timbalan pengerusi BN sekali lagi menegaskan bahawa tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya berkenaan.
"Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini," katanya.
Ditanya mengenai calon PAS yang mendakwa BN gagalmemahamkan komponennya berhubung adab Islam berhubung wanita tidak dibenarkan bersalaman dengan lelaki, Muhyiddin berkata:
"Tak payahlah kita komen macam-macam. Yang pentingnya, kita tumpu kepada perkara-perkara lain. Itu yang lebih utama".-mkini