ARTIKEL SEBELUM

23/01/11

 Kabinet Najib jadi pemimpin lebai malang

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Jan: PAS mengharapkan Datuk Seri Najib Tun Razak menerima debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, jangan banyak helah dan cuba mengalih isu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, Anwar sudah mengemukakan fakta mengenai kemampuan Pakatan Rakyat jika diberi mandat untuk memerintah.

Katanya, sumber yang Pakatan Rakyat perolehi dengan memerangi rasuah yang menyebabkan negara rugi RM28 bilion setahun dan memotong balik RM19 bilion subsidi yang diberikan kepada IPP.

Tambahnya, subsidi untuk rakyat RM10 bilion akan diberi semula supaya minyak dan makanan dapat dikawal dan menstruktur semula tol di Malaysia dengan kos RM23 bilion dan elaun tambahan kepada guru RM3.2 bilion setahun.

Menurutnya, jika dijumlah dengan anggaran pendapatan hasil daripada memerangi rasuah dan memerangi kroni ialah RM47 bilion dan perbelanjaan hanya RM32.2 bilion, maka Pakatan Rakyat mampu malahan lebihan.

Ini, tambahnya tidak masuk lagi hasil balak, minyak, sawit dan sebagainya di mana sekarang rakyat hendak dengar hujah Datuk Najib yang kata kalau laksana janji Pakatan Rakyat maka negara akan bankrap.

“Malangnya Datuk Najib cuba mengalih isu debat kepada isu liwat.

“Nampaknya saf kabinet negara memang pemimpin lebai malang,” ujarnya.

Tan Sri Muhyiddin Yasin suruh Pakatan Rakyat naikkan gaji guru yang berkhidmat di negeri Pakatan.

Manakala Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno merangkap Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri menyuruh negeri Pakatan Rakyat menurun harga barang di negeri pakatan.

Katanya, kesemua pemimpin tertinggi Umno fikiran mereka satu skima sahaja gagal menjawab soalan yang berbentuk fakta.

“Sepatutnya menjawab masalah, bukan lari daripada masalah yang dibangkit,” katanya.

PAS, ujarnya yakin Najib bimbang dengan kadar inflasi pada tahun ini dijangka berada sekitar 2.5 hingga tiga peratus dan peningkatannya diramal lebih pantas menjelang separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi dunia.

Penganalisis ekonomi AmResearch, Manokaran Mottain tidak menolak inflasi bakal meningkat lebih pantas sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan di bawah rasionalisasi subsidi yang dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu).

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud