ARTIKEL SEBELUM

31/01/11

Hakim Syarie didakwa khalwat di kuaters k'jaan

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di George Town hari ini terhadap tuduhan berkhalwat dengan Nurul Izani Md Isa di kuarters kerajaan dekat sini pada 5 Disember lepas.

Nurul Izani, 34, seorang penasihat kewangan yang bertugas di Kuala Lumpur, juga mengaku tidak tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya, yang menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Adam dan Nurul Izani dituduh melakukan kesalahan itu pada 2.05 pagi di rumah nombor 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di George Town.

Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding hari ini, Ketua Pendakwa Syariah, Zulhairi Aziz memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk perbicaraan kerana ia membabitkan pegawai kanan perundangan dan untuk berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat.

"Akan timbul isu-isu perundangan yang luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang yang lebih mendalam," katanya.

Bagaimanapun peguam bela Munawir Abdul Aziz memohon pihaknya diberi peluang mengemukakan hujahan balas berhubung isu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana katanya Mahkamah Rendah Syariah juga perlu mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan untuk memindahkan kes itu.

--Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud