ARTIKEL SEBELUM

23/12/10

PAS bidas Najib

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hairan dengan sikap Perdana Menteri serta Timbalannya yang mendakwa 'janji 100 hari Pakatan Rakyat' tidak berpijak kepada realiti.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib itu, Tuan Ibrahim berkata janji Pakatan bukannya kosong malah sudah menilai kemampuan sebenar dari segala aspek termasuk kemampuan ekonomi negara.

"Kita pelik bagaimana Perdana Menteri dan timbalannya mengatakan bahawa janji Pakatan ini diluar kemampuan kerajaan.

"Untuk memberikan imbuhan RM500 kepada guru-guru tidak ada kemampuan, tetapi membina menara warisan berharga RM5 bilion mereka mampu. Malah memberi RM500 juta seorang kroni sebagai komisyen pembelian kapal selam BN mampu lakukan.

"Begitu juga BN mampu berikan subsidi sehingga RM20 bilion untuk IPP (penjana tenaga bebas), tetapi untuk rakyat dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat yakin berkemampuan melaksanakan janji 100 hari Pakatan memerintah negara kerana ianya telah dibuat melalui kajian terperinci melibatkan tenaga pakar pelbagai bidang.

Keyakinan itu juga jelasnya berasaskan kepada perubahan pengurusan kewangan negara yang akan dilakukan dengan menghapuskan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran dan salah urus pentadbiran kerajaan BN.

Perkara tersebut tegasnya telah berjaya dibuktikan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak ketika Pakatan memerintah negeri itu.

"Di Kedah, ketelusan pengurusan kewangan negeri menyebabkan hasil balak meningkat daripada RM7 juta zaman BN kepada RM35 juta dibawah pemerintahan Pakatan.

"Di Pulau Pinang, bajet negeri berlebih sebanyak RM77 juta pada tahun 2009 dan RM88 juta pada tahun 2008 dalam keadaan negeri dibawah BN difisit teruk dalam perbelanjaan negeri," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ujarnya lagi, rakyat perlu mengetahui, bahawa sebahagian besar janji Pakatan ini hanya melibatkan perubahan polisi yang selama ini hanya menguntungkan BN sahaja dan memangsakan rakyat.

"Antaranya usaha kita untuk menghapus Felda Plantation bagi melibatkan peneroka dikalangan generasi kedua Felda memang sesuatu yang mampu dilakukan. Selagi Umno BN memerintah, ianya memang tidak boleh dilaksanakan.

"Rakyat tidak perlu bimbang untuk menukar kerajaan kepada Pakatan, kerana mereka tetap diberi hak untuk mengubah kerajaan dimasa akan datang, sekiranya janji Pakatan tidak ditunaikan," katanya.


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud