Ryan Chong Yiing Yih, 32, berkata hubungan itu berlangsung selama sebulan dan beliau membuat pengakuan dan meminta maaf kepada Iking pada Julai 2007 kerana beranggapan ia sesuatu yang salah.
Katanya, GRO itu bernama Serena dan mereka bertemu di sebuah kelab karaoke.
Chong, seorang ahli perniagaan, serta Daphne, 31, berkahwin pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan sebelum mereka bercerai pada 2009.
Chong merupakan saksi pertama pada perbicaraan saman peribadinya terhadap bekas pengarah Urusan Adidas Darren Choy Khin Ming, 45, yang didakwa memikat Iking dengan niat untuk bersetubuh dengan wanita itu di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, antara Julai 2007 dan September 2008.
Choy didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika disoal peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Choy, Chong berkata Iking ada berkomunikasi dengan Serena menerusi satu laman blog.
Bagaimanapun, beliau menafikan ada membayar sejumlah wang kepada Serena agar tidak mendedahkan perkara itu.
Chong juga tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa beliau ke Shanghai, China pada Julai 2007 bagi menyelesaikan perkara itu.
“Saya ke sana untuk menghantar surat peletakan jawatan di sebuah syarikat hartanah di sana dan ingin menyelamatkan rumah tangga saya,” katanya.
Mengenai surat tuntutan RM5 juta kepada Choy, beliau berkata ia adalah surat terawal pada 17 Oktober 2008, tetapi jumlah itu dikurangkan kepada RM2.5 juta selepas peguam mereka berbincang.
Chong berkata tuntutan itu dibuat supaya kes tersebut (memikat isteri orang) tidak dibawa ke mahkamah dan beliau turut menuntut RM1 juta daripada Iking kerana mengandungkan anak orang lain ketika masih berkahwin dengannya, selain tidak memberitahu itu bukan zuriatnya.
Jumaat lepas, beliau memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak berusia dua tahun itu bukan anaknya setelah menjalani ujian DNA.
Di akhir prosiding, Chong yang diwakili peguam Wong Kian Kheong berkata Isobel Daniella Iking-Chong tidak sepatutnya dilibatkan dalam kes antara beliau dengan bekas isteri, dan apa yang berlaku bukan bertujuan memusnahkan masa depan kanak-kanak itu.
Terdahulu, Chong berkata beliau bukan seorang pemabuk dan kaki judi tetapi mengakui bahawa beliau bukanlah lelaki sempurna kerana pernah melakukan kesilapan pada masa lalu.
Perbicaraan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung 4 Mac tahun depan. — Bernama