KOTA BHARU 10 Nov. - Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh daripada Barisan Nasional (BN) hari ini digantung selama sehari daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kerana didakwa ingkar perintah Timbalan Speaker, Mohd. Zaki Ibrahim.
Datuk Nozula Mat Diah diperintah keluar dewan dan digantung sehari daripada menghadiri persidangan setelah enggan mematuhi arahan Mohd. Zaki yang memintanya supaya duduk bagi membolehkan Dr. Nik Mazian Nik Mohamed (Pas-Gaal) meneruskan perbahasan Bajet 2011 kerajaan negeri.
Insiden berlaku ketika Nozula bangun membantah perkataan yang dikeluarkan Abdul Fatah Harun (Pas-Bukit Tuku) yang mengumpamakan UMNO seperti “najis dalam tandas” ketika mencelah perbahasan Dr. Nik Mazian.
Kata-kata Abdul Fatah menyebabkan Nozula bangun meminta Abdul Fatah menarik balik kenyataannya yang disifatkan sebagai menghina UMNO. - Bernama