ARTIKEL SEBELUM

24/10/10

Perak merintis laluan kegelapan




APA sudah jadi Yob? Dua musim tanpa sebarang keputusan yang boleh dibanggakan seakan-akan memberi petanda bahawa prestaso skuad bola sepak Perak sedang jatuh merudum.

Bukan mahu menidakkan kemampuan barisan muda Perak tetapi itulah hakikat yang harus ditelan mereka kerana dilihat masih gagal menyaingi ‘aura’ pasukan-pasukan elit yang lain.

Ini kerana tampil sebagai ‘budak mentah’ dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) sejak dua musim lalu sudah pasti menghadirkan rasa perit buat barisan pemain muda Perak.

Hanya kudrat dan tenaga yang menjadi taruhan mereka biarpun lawan yang ditentang jauh lebih berpengalaman dan memiliki reputasi tersendiri.

Semuanya bermula apabila Perak yang selama ini dianggap 'bersih' dalam hal melibatkan pembayaran gaji kepada para pemain, dilaporkan mula mengalami masalah kewangan pada penghujung tahun 2007.

Tidak tahu apa puncanya sehingga kantung Persatuan Bola Sepak (Pafa) kering, masalah kewangan yang menimpa badan induk itu menyebabkan ramai pemain senior Perak berstatus bintang ‘angkat kaki’.

Situasi yang tidak pernah diduga sama sekali itu menyebabkan penyokong setia skuad Seladang terdiam seketika.

Apa lagi yang mahu dikatakan mereka apabila melihat barisan bintang Perak mudah disambar pasukan lain. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menerima hakikat itu walaupun pahit untuk ditelan.

Dua musim bagi mereka dianggap tempoh yang terlalu lama. Lebih mengecewakan, dalam tempoh itu, tiada apa yang boleh dibanggakan.

“Sebagai peminat setia Perak, saya cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Perak seolah-olah sudah hilang taring dalam saingan Liga M. Walaupun Perak dibarisi rata-rata pemain muda tetapi itu tidak bermakna, pasukan ini mudah diperbudak-budakkan,” jelas seorang penyokong Perak, Mohd. Junaidi Jasmin kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Justeru pihak pengurusan Pafa yang kini diterajui oleh bos baru - Datuk Zainol Padzi Paharuddin agar segera menyusun strategi terbaik agar skuad Kejor Yob Kejor kembali meniti puncak kejayaan.

Tindakan segera dan pro-aktif perlu diambil andai Pafa tidak mahu melihat skuad Perak ditimpa musibah yang lebih buruk. Jika ia berlaku, sejarah baru bakal tercipta dalam kancah bola sepak Perak.

“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi melihat Pafa lambat bertindak bagi membuat persiapan untuk menghadapi musim baru.

“Sudah sampai masanya, barisan kepimpinan Pafa yang diberi mandat oleh para perwakilan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan.

Peminat setia Perak sememangnya tidak mahu terus ‘menderita’ kerana mereka masih menanti kembali detik-detik kemasyhuran yang pernah dilakar skuad Seladang selama ini.

“Cukuplah apa yang kami rasai sekarang. Sampai bila Perak terus menjadi mangsa belasahan pasukan-pasukan handalan. Dua tahun sudah cukup membuktikan kegagalan skuad Perak.

“Pemain-pemain muda Perak tidak harus dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini. Mereka masih baru dan perlukan sokongan dan bantuan daripada pemain-pemain yang lebih senior.

“Itulah yang terjadi dalam skuad Perak apabila tiada pemain senior (kecuali K. Nanthakumar) musim ini,” jelas seorang lagi peminat Perak, Azmi Isa.

Bukan mahu mengikut ‘ramuan’ pasukan-pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Selangor mahupun Kedah yang memiliki gabungan pemain muda dan senior tetapi jelas Azmi, formula itu dianggap yang terbaik bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Sebelum ini, Selangor pernah mempertaruhkan pe main-pemain muda tetapi mereka terpaksa mengubah kem bali barisan sedia ada apabila pemain-pemain muda itu gagal memberikan impak yang berkesan.

“Jadi saya harap pihak pengurusan Pafa dapat mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku dalam skuad Se langor.

“Saya percaya dengan adanya beberapa pemain senior ditambah pula dengan khidmat tenaga muda, Perak mampu kembali bangkit di persada bola sepak tanah air,” katanya.

Andai diimbas kembali rekod pencapaian skuad Seladang bermula musim 1997, pasti para penyokong setia bola sepak Perak boleh mendabik dada.

Sejak musim 1997, skuad Seladang dilabel antara jagoan dalam arena bola sepak tempatan.

Apa tidaknya, pada musim tersebut, Perak sudah boleh berbangga apabila penyerang import, Laszlo Repasi dinobatkan selaku penjaring terbanyak liga, sekali gus membolehkan pemain antarabangsa Hungary itu menjulang Kasut Emas.


SOKONGAN PADU... Ribuan penyokong Perak masih setia menanti kejayaan yang mampu dilakar skuad Seladang di pentas bola sepak tempatan.


Biarpun Pafa melamar Repasi hanya di pertengahan musim, namun ia tidak menghalang awang import itu meledak 19 gol.

Selain Repasi, Perak turut berbangga dengan kelibat Norizam Ali Hassan yang muncul penjaring terbanyak pada musim 2001 (13 gol), Khalid Jamlus (2002 - 17 gol), Keita Mandjou (2005/06 - 17 gol) dan (2006/07 - 21 gol).

“Dulu kami boleh berbangga kerana Perak tidak pernah lekang melahirkan pemenang Kasut Emas tetapi sekarang, senario sudah berubah.

“Kami teringin untuk melihat kembali pemain-pemain baru mengikut jejak langkah Khalid, V. Saravanan yang pernah mencetuskan fenomena tersendiri dalam skuad Perak.

“Sekarang apa yang kami dapati, tidak ada daya tarikan dalam skuad Perak dan ini juga menjadi punca penyokong Perak tidak lagi mahu hadir ke stadium,” kata seorang peminat Perak yang hanya mahu dikenali sebagai Tauke.

Namun jauh disudut hati ribuan penyokong Perak, mereka mahu melihat skuad Seladang kembali menjulang trofi lebih berprestij seperti Piala Malaysia, Piala FA mahupun gelaran juara Liga Super yang belum pernah dimenangi setakat ini.

Sebagai rekod, Perak muncul juara Piala Malaysia (termasuk Piala HMS Malaya) sebanyak tujuh kali dengan kali terakhir mereka mengucup piala keagungan bola sepak Malaysia itu sepuluh tahun itu.

Perak juga masih boleh berbangga apabila dinobatkan selaku naib juara Piala Malaysia sebanyak 11 kali.

Dengan pencapaian cemerlang itu, Perak berada di tangga ketiga di belakang musuh tradisi, Selangor serta Singapura selaku pasukan yang paling banyak merangkul Piala Malaysia.

Dalam kempen Piala FA pula, Perak muncul juara edisi sulung pada musim 1990 sebelum sekali lagi merangkul piala tersebut enam tahun lalu. Tiga kali muncul naib juara Piala FA turut membuktikan kekuatan Perak dalam kempen tersebut.

Namun sesuatu yang cukup membanggakan penyokong setia Perak apabila skuad Seladang muncul satu-satunya pasukan yang konsisten dalam kempen liga.

Dalam erti kata lain, Perak tidak pernah diturunkan ‘pangkat’ sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan sehinggalah era Liga Super.

Perak bermula dari bawah dengan mendaki setiap anak tangga sehingga ke hari ini.

Bermula dengan aksi Liga Bahagian II pada 1989, Perak mendaki satu anak tangga untuk bersaing dalam Liga Bahagian I pada tahun berikutnya. Sejak itu, Perak tidak menoleh ke belakang lagi, setiap anak tangga di daki dengan jayanya.

Begitupun, masih ada ‘lompang’ jika melihatkan prestasi Perak dalam kempen liga domestik. Hanya gelaran juara Liga Perdana 1 pada musim 2002 dan 2003 sedikit sebanyak mampu menampung cerita suka duka Perak dalam kempen tersebut.

Pada musim 2007, Perak melakar sejarah tersendiri apabila muncul naib juara Liga Super yang mula diperkenalkan pada 2004.

Dalam dua musim sebelum itu, Perak menduduki tangga ketiga selepas pada musim pertama Liga Super, mereka menamatkan saingan di tangga keempat.

Semua itu sudah cukup membuktikan betapa Perak berada dalam kelas yang tersendiri.

Apa yang direkodkan itu mustahil untuk dicapai sekiranya mereka tidak mendapatkan sentuhan magis daripada jurulatih berkaliber.

Era Karl-Heinz Weigang dari Jerman, Tony Netto (Brazil) serta Steve Darby (England) menjadikan Perak antara ‘otai’ yang digeruni pihak lawan. Namun semua itu tinggal kenangan dan Perak semakin jauh di belakang.

Di bawah kendalian M. Karathu dan Raja Azlan Shah Raja Shoib, kedua-dua pengendali tempatan itu dilihat gagal meneruskan legasi yang telah ditinggalkan Weigang, Netto mahupun Darby.

Karathu dilantik sebagai jurulatih Perak bagi menggantikan Darby pada 2009 sebelum tempatnya diambil alih oleh Raja Azlan Shah awal musim ini.

“Apa yang saya lihat, Raja Azlan bukannya tidak bagus tetapi beliau kurang pengalaman dan kurang idea dalam menyusun taktikal permainan.

“Saya katakan begitu bukan atas dasar peribadi tetapi ia memang dapat dilihat setiap kali Perak beraksi. Kadang-kadang susunan pemain juga tidak betul.

“Saya amat berharap Pafa memikirkan kembali keputusan terbaik untuk membentuk kembali sebuah pasukan yang ampuh.

“Mungkin dengan adanya jurulatih baru selain beberapa tenaga pemain senior, Perak mampu mendaki puncak kejayaan sebagaimana yang dicapai sebelum ini,” tambah Tauke.

Kini hanya satu permintaan ribuan penyokong setia Perak - Pafa kembali mengangkat reputasi skuad Seladang daripada terus meniti zaman kejatuhan.- kosmo

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud