ARTIKEL SEBELUM

1/10/10

Pencuri kelar leher detektif

AMPANG: Hanya kerana sebotol penyegar mulut, seorang lelaki sanggup menikam seorang detektif dalaman yang mengesan perbuatannya yang mencuri barang berkenaan di sebuah pasar raya di Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Akibatnya, detektif dalaman berusia 23 tahun itu menerima 10 jahitan di dada, selain cedera di leher dan tangan selepas dikelar ketika cuba mempertahankan diri.


Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa mengekori pergerakan seorang lelaki yang mencurigakan.


“Mangsa melihat suspek mengambil sebotol penyegar mulut dan keluar tanpa membuat pembayaran di kaunter,” katanya.


Katanya, sejurus melihat suspek cuba beredar, mangsa menahannya di luar pasar raya itu sebelum memperkenalkan diri detektif dalaman pasar raya berkenaan.


“Mangsa memberitahu ingin membuat pemeriksaan sebelum suspek yang ketakutan cuba melarikan diri, namun dikejar mangsa.


“Suspek ditahan sebelum dia tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau,” katanya.


Katanya, mangsa cuba merampas pisau dipegang suspek, namun tidak berjaya.


“Suspek menikam dada selain mengelar leher dan tangan mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.


Menurutnya, mangsa dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat mangsa bergelut dengan suspek dan ini menyukarkan polis melakukan siasatan.

“CCTV hanya dipasang di beberapa premis dalam pasar raya berkenaan dan agak sukar untuk mengecam wajah suspek, namun mangsa dapat membuat lakaran fotofitnya.


“Setakat ini, siasatan lanjut dijalankan dan polis kini bergantung lakaran fotofit daripada mangsa untuk mengesan suspek terbabit,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud