ARTIKEL SEBELUM

7/10/10

PAS yakin kekalkan Galas, Ku Li tak tanding kerana fenomena Mac 2008


KUALA LUMPUR, 7 Okt — Mengambil kira “fenomena” arah aliran undi pada Mac 2008, PAS masih yakin Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan bertanding di kerusi Galas dan pada masa yang sama, parti Islam itu percaya boleh mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Bagaimanapun PAS meletakkan pihaknya sebagai ‘underdog’ dalam menghadapi cabaran pilihan raya kecil DUN Galas yang akan berlangsung akhir bulan ini.

“Kami akan turun di Galas dengan 48 peratus sokongan dan 52 peratus sokongan bagi BN,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman pada sidang media di sini hari ini.

“Kami anggap kami sebagai underdog, walaupun kami optimis akan menang dan mempertahankan kerusi, tetapi oleh kerana ini pilihan raya kecil, kami anggap kami sebagai underdog,” katanya.

Tengku Razaleigh yang bertanding di Gua Musang sejak pilihan raya umum 1969, terus mempertahankan kerusinya dua tahun lalu tetapi beliau tewas dari segi undi diperoleh dari bahagian DUN Galas.

Pada 8 Mac 2008, Tengku Razaleigh dicabar oleh calon PAS Zulkefli Mohamed di peringkat saingan kerusi Dewan Rakyat.

Halim yang dilantik sebagai pengarah jawatankuasa strategi pilihan raya kecil DUN Galas berkata, Tengku Razaleigh menerima 3,826 undi dari DUN Galas manakala Zulkefli pula 4,143 undi.

“Maknanya dari segi ini, kalau Tengku Razaleigh jadi calon pun, dari segi... dia sudah kalah di Galas, pengundi di Galas ini... PAS sudah mengalahkan Tengku Razaleigh dengan perbezaan undi 317 undi.

“Jadi fenomena ini, kita tengok tidaklah payah sangat untuk kita tidak pertahankan kerusi ini,” kata beliau yang juga bekas timbalan menteri besar Kelantan.

Halim menjadi timbalan menteri besar selepas PAS membentuk kerajaan negeri Kelantan 1990, kejayaan yang antara lain disumbangkan oleh kerjasama Tengku Razaleigh ketika itu menerajui Parti Melayu Semangat 46.

Tengku Razaleigh kembali ke Umno selepas pilihan raya umum 1995.

Buat pertama kali PAS memenangi DUN Galas, salah satu daripada tiga kerusi negeri dalam bahagaian Gua Musang, dua tahun lalu.

Penyandangnya Che Hashim Sulaima meninggal dunia minggu lalu dan ia membawa kepada pilihan raya kecil yang ke-12.

Teka-teki sama ada Tengku Razaleigh akan menjadi calon berterusan di sebalik keputusan Umno-BN melantik beliau sebagai pengarah pilihan raya.

Umno-BN menyerahkan kepada bahagian Gua Musang mengemukakan nama calon kepada pucuk kepimpinan untuk pilih.

Tengku Razaleigh dijangka akan menjawab spekulasi itu apabila pulang ke tanah air dari London Sabtu ini.

Sambil mengakui kedudukan Tengku Razaleigh yang akan mempengaruhi persekitaran pilihan raya kecil kali ini, Halim memberitahu, PAS akan bermula sokongan pada tahap 48 peratus.

“Kita harapkan satu sentuhan yang strategi untuk menghadapi pilihan raya, ini pilihan raya kecil, bukan pilihan raya umum,” kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa ini.

“Sekarang kita bermula dengan 48 peratus,” kata beliau.

Mengenai keajaiban yang diharapkan, Halim berkata, pihaknya berharap dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina.

“Dan, sebahagian (besar) sokongan pengundi Melayu yang kita peroleh itu kita boleh kekalkan, kita memerlukan satu strategi untuk mengekalkan... kalau kita dapat kekalkan ini, kita rasa dapat mempertahankan kerusi Galas,” katanya lagi.

Berhubung sokongan pengundi Orang Asli, kata beliau, pihaknya meletakkan sasaran 30 peratus.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut bersama pada sidang media pagi ini mencelah dengan berkata, jangkaan 48:52 peratus itu adalah berdasarkan kedudukan semasa.

“Masa masih panjang (dan ia boleh berubah),” kata beliau.

“Kita menang dengan 600 undi di DUN di Galas, tetapi Tengku Razaleigh kalah 371 undi di bahagian Galas,” kata Halim lagi.

“Mengambil kira kali ini sebagai pilihan raya kecil, kita bermula dengan 48 peratus,” katanya.

Mustafa pula berkata, dalam mana-mana pilihan raya kecil yang dihadapi bukan calon dan jentera setempat semata-mata tetapi keseluruhan kerajaan BN.

“Kita jangkakan perkara-perkara macam ini, oleh itu tidak semudah (untuk menghadapi pilihan raya kecil),” kata Mustafa.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud