SHAH ALAM – Kemusykilan seorang pemuda tentang tanah yang ditimbus dan dihurung lalat, membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat dalam kejadian di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, berdekatan Sungai Klang, di sini, semalam.
Lebih memilukan, mayat berlumuran darah itu dibungkus dengan kain lampin dan dipercayai ditanam di kawasan itu sejak tiga hari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Harun Sungep, 25, berkata, ketika itu, dia ke tempat kejadian mencari daun keladi untuk dijadikan makanan itik peliharaannya.
“Saya duduk di bawah pokok sebelum melihat sekumpulan lalat menghurung tanah yang baru ditimbus. Timbul rasa hairan di hati sebelum saya mengambil keputusan untuk mengorek tanah itu.
“Beberapa minit selepas menggali, saya melihat kain putih berdarah dan terus menghubungi abang ipar sebelum dia ke sini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, selepas abang iparnya, Mazlan Endut, 43, tiba di lokasi, mereka cuba mengali lagi dan terkejut apabila melihat tangan bayi sebelum menghubungi polis memaklumkan penemuan itu.
“Rabu lalu, abang ipar saya sudah melihat timbunan tanah itu tetapi menyangka pemilik kebun sebelah menanam bangkai binatang bawah pokok ini kerana ada baru ditimbus.
“Dia ada beritahu saya, bagaimanapun kami tak ambil peduli. Tetapi tadi (semalam) selepas waktu kerja, saya terus ke sini untuk memberi makan kepada kambing dan itik yang dipelihara dan apabila ternampak lalat menghurung tanah itu, saya tergerak hati untuk menggali,” katanya.
Menurutnya, ini pertama kali berlaku sejak kebun berhampiran Sungai Klang diusahakan hampir enam tahun lalu dan sepanjang minggu ini, mereka tidak nampak kelibat individu yang mencurigakan berada sekitar kawasan itu kerana kebun itu jauh dari kawasan kediaman.
Sepasukan polis dari Unit Forensik ke lokasi kejadian mengumpul bukti kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin mengesahkan penemuan mayat bayi itu dan menurutnya siasatan sedang dijalankan.