MELAKA: Seorang isteri berusia 47 tahun ditahan polis selepas dia didapati membuang mayat suaminya yang berusia 76 tahun di belakang rumah di Kampung Solok Pantai, Batu Berendam tanpa melaporkan kematian itu kepada pihak berkuasa.
Suaminya itu, seorang pesakit kencing manis dipercayai telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari yang lalu. Polis kini sedang mengenalpasti sama ada kematian Abdul Halim Manan disebabkan oleh penyakitnya itu atau kerana sebab lain. Orang ramai mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan wanita itu apabila mereka mendapati suaminya tidak keluar rumah atau kelihatan di sekitar kawasan itu sejak beberapa hari lalu.
Mereka juga berasa tidak selesa dengan bau busuk yang datang dari belukar tidak jauh dari rumah pasangan berkenaan.
Akhirnya, mayat Abdul Halim ditemui dibungkus dalam sebuah bag plastik hitam berhampiran sebuah parit lebih kurang 50 meter dari rumah pasangan itu, pagi Rabu.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt R. Gunarajan, siasatan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari yang lalu.
Pasangan tersebut telah mendiami rumah sewa di kampung berkenaan sejak lima tahun lalu dan kelihatan bersama tetapi jarang bergaul dengan masyarakat sekeliling.
Wanita itu yang kini sedang disoal siasat polis bekerja sebagai pengawal keselamatan.