KUALA LUMPUR: “Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku dan ia menjadi pengajaran paling berguna dalam hidup saya,” kata seorang pengacara sebuah rancangan televisyen yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita di sebuah apartmen di Ampang, dekat sini, Rabu lalu.
ADAM...kesal apa yang berlaku
“Saya hanya membantu rakan saya mengemas barang kerana dia perlu ke Kota Kinabalu, Sabah, tetapi terkejut apabila pihak berkuasa tiba.
“Kami tidak buat apa-apa, tetapi apa yang berlaku ini satu pengajaran buat saya dan tidak akan berulang lagi,” katanya yang dihubungi semalam.
Pengacara itu ditahan bersama wanita berusia 27 tahun yang juga isteri orang di sebuah apartmen jam 2 pagi, Rabu lalu.
Jurucakap Jais yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kedua-dua mereka dipanggil untuk diambil keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah syariah.
Sebelum itu, suami kepada wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 31, berkata, dia dan isterinya sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu kerana masalah rumah tangga.
“Walaupun kami tidak tinggal sekali namun kami masih menjaga anak perempuan yang berusia tiga tahun secara bergilir-gilir.
“Saya hantar anak saya kepada isteri setiap Jumaat dan menjemputnya semula pada Ahad sehinggalah saya terserempak dengan pengacara itu dalam kereta isteri bersama anak berhampiran kediaman saya di Kelana Jaya,” katanya.
Menurutnya, dia sudah lama mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, tetapi tidak tahu dengan siapa.
“Saya juga tidak tahu berapa lama mereka berkenalan, tetapi saya syak mereka mengenali satu sama lain menerusi facebook.