Sekolah Harapan sudah terima 10 remaja
MELAKA - Bilangan pelajar Sekolah Harapan, institusi khas untuk remaja hamil luar nikah di sini, bertambah apabila lima lagi pelajar mendaftar masuk semalam.
Jumlah itu menjadikan setakat ini 10 pelajar sudah berada di sekolah itu sejak dibuka 17 September lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, lima pelajar baru itu masing-masing dari Selangor, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor.
Kesemua pelajar itu hamil enam bulan ke atas.
"Empat daripada mereka berusia 17 tahun dan menuntut di tingkatan lima manakala seorang lagi di tingkatan empat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Melaka Maju 2010 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil semalam.
Sekolah Harapan yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islan Negeri Melaka (MAINS) menerima kumpulan pertama lima pelajarnya pada 20 September lalu.