ARTIKEL SEBELUM

18/10/10

BN mungkin kekal calon dari keturunan Cina

Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini berkata Barisan Nasional (BN) besar kemungkinan akan mengekalkan calon keturunan Cina untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata penyandang kerusi tersebut mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah merupakan seorang keturunan Cina dan calon yang mereka cadangkan semestinya dari kaum itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PBS di ibu pejabat parti itu di sini hari ini, Pairin berkata setakat ini 10 calon telah disenaraikan.

Bagaimanapun, katanya, senarai tersebut akan disenarai pendekkan sebelum mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil itu.

Musa, yang juga Ketua Menteri Sabah, dijangka mempengerusikan mesyuarat bersama parti komponen BN esok bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Edmund Chong dari BN akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Okt lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 4 Nov ini.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata walaupun PBS mencadangkan nama calon namum pemilihan muktamad calon terletak di tangan pucuk kepimpinan BN.

“Perlu ada persetujuan bersama selepas mendengar pandangan semua parti komponen BN,” katanya.

Diminta mengulas langkah Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pakatan Rakyat masing-masing mengemukakan calon, Pairin berkata ia terpulang kepada parti pembangkang itu tetapi BN akan memastikan rakyat akan memberikan kemenangan dengan majoriti lebih besar kepada calon BN.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, mendiang Edmund Chong, yang juga bendahari agung PBS, menang kerusi Parlimen tersebut dengan menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi

Menjawab kepada satu soalan, Pairin berkata nama calon yang dicadangkan oleh parti itu adalah dari kawasan Batu Sapi dan Sandakan termasuk ahli keluarga mendiang. — Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud