KUALA LUMPUR, 28 Sept: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menganggap api perkauman yang ditiupkan Biro Tata Negara (BTN) semalam dengan gelaran menghina kaum Cina dan India amat menjijikkan.
Anggapan itu merujuk kepada ucapan seorang pegawai BTN yang dilaporkan memberikan gelaran rakyat berbangsa Cina dan India masing-masing sebagai 'si mata sepet' dan 'si kaki botol' dalam induksi dalaman Puteri Umno Malaysia di PWTC.
"Membuat suatu analogi yang begitu menjijikkan, itulah wajah sebenar Umno. Mereka akan jadi lebih rasis, mereka akan jadi lebih ekstrem dalam memainkan isu perkauman," ujarnya di Pejabat Agung PAS.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, insiden terbaru yang dialporkan itu seakan mengulangi tindakan rasis Datuk Nasir Safar, pegawai khas bagi Perdana Menteri pada Konvensyen 1Malaysia di Melaka.
Nasir pada 2 Februari dulu dilaporkan mencemuh rakyat berbangsa Cina sebagai 'wanita jual tubuh', manakala kaum India dihina sebagai 'pengemis' di tanah air.
"Satu lagi kesalahan berulang, tidak cukup yang dilakukan oleh Datuk Nasir Safar, seorang pegawai khas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," ujarnya.
Baginya, slogan 1Malaysia yang dipopularkan oleh Najib, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sebelum ini sekadar untuk menutup wajah sebenar Umno.
"Mereka sebenarnya telah terlalu benci kepada orang Cina dan India dalam negara kita, cuma mereka cuba sembunyikan perasaan mereka itu di sebalik 1Malaysia.
"Itulah wajah sebenar mereka, mereka tidak pernah menghilangkan warna diri mereka yang sebenar," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat sama ada Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain kian sedar dengan bahaya politik perkauman yang ditiupkan oleh Umno dan BTN itu.- harakahdaily