Beliau berkata tindakan yang diambil oleh 40 ulama itu tidak bercanggah dengan syariah, terutama tidak terdapat sebarang larangan nas syarak terhadap tindakan tersebut.
Ini, katanya tidak seperti mana larangan nyata dari nas atas pengharaman judi bola yang dilesenkan oleh Umno tetapi ulama muda mendiamkan diri.
“Golongan ulama Umno ini amat dangkal ilmunya kerana tidak memahami hasrat sebenar misi ini yang dikhususkan kepada tindakan zalim pihak kerajaan pusat yang enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, Nabi Muhammad s.a.w. ada menyuruh bermusafir dan menyatakan kelebihan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, justeru pihaknya akan menghantar 40 orang ulama Kelantan untuk bermunajat di sana.
“Langkah ini diambil agar mereka dapat bertawasul dengan amalan soleh mereka sendiri untuk dimustajabkan doa oleh Allah supaya hak rakyat kelantan dikembalikan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, perbelanjaan yang digunakan adalah secara telus dengan menggunakan sumbangan derma daripada orang ramai dan tidak melibatkan dana kerajaan negeri.
“Saya berharap ulama muda Umno kembali kepada niat asal mereka menyertai Umno seperti yang mereka war-warkan dahulu, iaitu mahu membaiki dan menegur Umno, bukan seperti kandungan artikel tulisan mereka, yang memperlihatkan mereka seperti balaci Umno dalam usaha melawan tindakan yang tidak sealiran dengan mereka,” katanya lagi.