KUALA LUMPUR, — Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengadakan pemilihan menggunakan sistem secara langsung, menyaksikan situasi paling buruk hari ini — kali pertama sejak bermulanya mesyuarat agung tahunan cabang minggu lalu dengan pemilihan enam bahagian digantung dan dipertikaikan.
Lima daripada bahagian itu melibatkan negeri Selangor iaitu Klang, Kapar, Kuala Langat, Subang dan Kota Raja.
Satu lagi cabang melibatkan Parit Sulong di Johor.
Di Petaling Jaya Utara, Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong kalah dan mendakwa pesaingnya tidak layak bertanding tetapi namanya dibenarkan.
Seorang pemimpin yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya menyifatkan perjalanan pemilihan hari ini khususnya di cabang-cabang di Selangor itu sebagai “sangat teruk” dan di luar jangkaan mereka.
“Ini kali pertama kami mengadakan pemilihan langsung, yang sepatutnya ahli-ahli menunjukkan contoh kepada negara bahawa PKR mampu mengadakan pemilihan dengan tenang dan bersopan, tetapi sebaliknya berlaku,” kata pemimpin dengan namanya tidak mahu didedahkan.
Beliau menggambarkan bahawa pegawai-pegawai diugut dan diancam agar meneruskan pemilihan.
Ia jelas merujuk kepada keadaan di cabang Subang yang pemilihannya ditangguhkan ke hari lain tetapi pegawai pengawas terpaksa mengadakan pemilihan ekoran ugutan sekumpulan ahli.
Mesyuarat agung tahunan cabang itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan kira-kira tengah hari apabila sebahagian ahli meninggalkan pusat pemilihan ekoran kelewatan mengeluarkan kertas undi baru.
Kertas undi baru terpaksa dikeluarkan selepas beberapa nama calon tercicir dan dikeluarkan.
Bagaimanapun pemilihan Subang diteruskan selepas pegawai pengawas diugut agar meneruskan pemilihan.
Pengundian diteruskan tanpa kehadiran ahli-ahli yang menyokong Naib Presiden R. Sivarasa.
“Kami terpaksa adakan pemilihan di sebalik tekanan dan tegangan. Keputusan pemilihan kami serahkan kepada parti untuk putuskan kesahihan sama ada boleh diterima ataupun tidak,” kata pegawai berkenaan.
Sivarasa yang dihubungi berkata, “pada pandangan saya ia tidak sah kerana pegawai pengawas sudah pun memutuskan pemilihan telah ditangguhkan.”
“Saya tidak boleh komen sebab saya seorang calon,” kata beliau ketika dihubungi sekitar 6 petang tadi.
Jawatankuasa pemilihan difahamkan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi memutuskan beberapa insiden yang berlaku hari ini.
Mesyuarat berlangsung sekitar 10.30 malam ini.
Mesyuarat tergempar itu dipanggil juga ekoran insiden di cabang Kota Raja di mana peti-peti undi dirampas dan “dilarikan” sehingga menyebabkan anggota polis dipanggil.
“Peti-peti undi dibawa ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut.
“Saya tidak pasti sama ada undi akan dikira di ibu pejabat hari ini ataupun esok, kemudian hari,” kata pegawai itu lagi.
Hari ini, sebanyak 34 cabang dijadual untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing hari ini.
Di Selangor, lapan cabang mengadakan mesyuarat hari ini iaitu Kapar, Klang, Kota Raja, Kuala Langat, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Subang dan Shah Alam.
Di Subang, Sivarasa berhadapan dengan persaingan lima penjuru iaitu Datuk Shawal Salim, Muhammad Najmi Samsudin, Shahrum Kazindin dan P Voolaganathan.
Sivarasa juga Ahli Parlimen Subang.
Satu lagi cabang yang dilihat untuk diperhatikan ialah Kota Raja di mana Ketuanya Dr A. Xavier Jayakumar berhadapan dengan S. Kottappan dan M. Telaiamblam.
Dr Xavier adalah Adun dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
