ARTIKEL SEBELUM

29/09/10

Mempertahan Dun Galas suatu cabaran - Pas


zulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Usaha mempertahan kerusi Dun Galas yang dikosongkan ekoran kematian Chek Hashim Sulaima semalam dianggap sebagai suatu cabaran besar oleh PAS, kata naib presidennya, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata demikian berdasarkan pemerhatian geo-politik, iaitu BN mempunyai kekuatan di peringkat Parlimen Gua Musang dan dua Dun dalam parlimen itu.

Parlimen Gua Musang diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno, manakala Dun Paloh dan Nenggiri masing-masing diwakili oleh Datuk Norzula Mat Diah dan Mat Yusoff Abdul Ghani juga dari Umno.

"Saya rasa itu suatu cabaran besar untuk PAS mempertahankan kerusi (Dun Galas)," ujarnya tengah hari tadi di Pejabat Agung PAS .

Disebabkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian secara peribadi tidak memandang rendah pada kemampuan Umno/BN.

"Saya tidak memandang rendah dan meremehkan kekuatan di pihak lawan," ujarnya.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS mungkin menurunkan sebahagian jentera yang sebelum ini dipersiapkan sempena menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada pilihan raya kecil tersebut.

"Parti telah membuat persiapan awal, bukan sekadar buat persiapan untuk Galas (kerana) parti sedang siapkan untku hadapi pilihan raya umum.

"3 hari bulan (Oktober) ini akan diadakan mesyuarat PAS Pusat, saya yakin persiapan di Galas antara agenda penting yang akan diperbincangkan," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi naib presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS bersama Pakatan Rakyat akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan yang ada dikekalkan.

"Saya yakin seluruh jentera parti akan turun ke Galas bagi menjayakan hasrat ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kenyataan itu, beliau juga mengigatkan mahkamah untuk menyegerakan pilihan raya kecil Kota Seputih, Kedah yang telah sekian lama dibiarkan kosong tanpa wakil rakyat.

"Tidak sepatutnya perkara ini terjadi. Rakyat kawasan Kota Seputeh dibiar tanpa mempunyai wakil yang sah," katanya.

Agak malang, katanya, bila mahkamah rayuan langsung tidak memulakan proses penghakiman, dalam tempoh yang panjang dan akhirnya rakyat pun telah melupai kes yang begini penting.

"Kita tidak mahu ia menjadi satu perkara biasa membiarkan rakyat dalam sesuatu kawasan Parlimen atau Dun tanpa mempunyai wakilnya," tambah beliau.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud