ARTIKEL SEBELUM

9/09/10

Kerajaan Digesa Tubuh Suruhanjaya Siasat Dakwaan Musa KDN Campur Tangan

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Pemimpin Pakatan Rakyat menggesa kerajaan mengadakan suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan Tan Sri Musa Hassan, yang akan bersara dalam beberapa hari, bahawa wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

PDRM merupakan salah satu agensi terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri.

Sejak awal minggu ini, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan PDRM menjalankan tugas dan antara pihak ketiga itu adalah orang dari Kementerian Dalam Negeri, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.

Justeru, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat dakwaan Musa yang pertama kali dikeluarkan Ahad lalu dan beberapa kali selepas itu.

“Saya cabar beliau (Musa) usahakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan itu yang saya anggap serius.

“Kalau benar dakwaan itu benar beliau akan menyahut cabaran saya dan tubuhkan jawatankuasa siasatan tersebut sebelum bersara secara rasmi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Salahuddin berkata, sekiranya Musa ingin membersihkan imejnya beliau harus berani berbuat demikian.

“Sebelum beliau bersara dengan imej yang agak memalukan ini beliau harus berani untuk membersihkan semula nama dan imej PDRM dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan itu.

“Jika tidak bagi saya dakwaan beliau itu hanya sebagai luahan seorang ketua polis negara yang kecewa kerana tidak disambung kontraknya,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua pula berpendapat bahawa dakwaan yang dibuat Musa itu adalah satu tuduhan serius terhadap Kementerian Dalam Negeri.

“Sebagai Ketua Polis Negara, Musa bertanggungjawab terhadap dakwaan yang dibuat itu.

“Jika benar dakwaan itu benar beliau perlu dedahkan maklumat tersebut,” kata anggota Dewan Rakyat ini ketika dihubungi.

Beliau berkata pihak yang mencampuri urusan polis boleh perlu dibawa ke muka keadilan kerana ia adalah satu jenayah serius.

“Siasatan terperinci perlu dilakukan dan sesiapa yang terlibat dalam campur tangan itu perlu dibawa ke muka keadilan.

“Kalau berani berkata sebegitu mungkin dakwaan itu ada asas, jadi siasatan perlu dilakukan,” katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah pula berpendapat bahawa campur tangan ahli politik dalam urusan polis adalah satu dakwaan yang serius.

“Jadi beliau (Musa) perlu dedahkan butiran tersebut,” kata beliau lagi.

Kata Ahli Parlimen Subang ini, Musa wajar mendedahkan identiti individu-individu yang campur tangan itu.

“Bagi saya dakwaan itu ada asasnya tapi maklumat terperinci perlu didedahkan sendiri oleh Musa,” katanya.

Tambah beliau, jika Musa enggan mendedahkan dakwaan itu ia secara tidak langsung akan menjejaskan lagi imej dan kredibiliti beliau sebagai Ketua Polis Negara.

“Kita tidak mahu tengok orang main wayang, ini adalah tuduhan yang serius yang mana ia juga boleh jejaskan imej PDRM dan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jadi adalah lebih wajar beliau dedahkan maklumat itu secara terperinci,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan Musa itu dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Mahmood Adam berkata adakalanya syor dan perakuan PDRM (permintaan dan cadangan) tidak dipertimbangkan sepenuhnya dan ini seolah-olah boleh dipandang sebagai campur tangan di dalam urusan harian PDRM.

“Maka dalam hal ini, urusan pengurusan perkhidmatan utama adalah tanggungjawab PDRM dan isu campur tangan dalam perjalanan urusan PDRM oleh kementerian tidak wujud sama sekali,” katanya semalam.-THE MALAYSIAN INSIDER

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud