
![]() |
| pemain Everton, Marouane Fellaini (kiri) bersaing dengan lawannya dari Newcastle, Cheik Tiote dalam saingan Liga Perdana England di Goodison Park, semalam. - AP |
LIVERPOOL - Hajat Everton meraih kemenangan pada musim ini di Liga Perdana England terus terbantut apabila tunduk di tangan pendatang baru, Newcastle United di Goodison Park.
Bintang muda Perancis, Hatem Ben Arfa yang baru dipinjamkan dari Marseille menjadi pemusnah Everton menerusi sepakan cantik dari jarak 30 meter yang menewaskan Tim Howard pada minit ke-45.
Toffees, walaupun menguasai kira-kira 70 peratus permainan dihampakan oleh kekentalan pertahanan Newcastle yang beraksi baik sepanjang 90 minit permainan di samping ketumpulan penyudah Aiyegbeni Yakubu dan Marouane Feillani.
Kekalahan itu meletakkan Everton kekal di tangga kedua tercorot liga dengan hanya mengutip dua mata termasuk ketika seri 3-3 bertemu Manchester United pada minggu lalu.
Sementara itu, pemain Belanda, Rafael Van der Vaart menjaringkan gol pertamanya bersama Tottenham untuk membantu kelab barunya bangkit untuk menang 3-1 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam 15 minit terakhir perlawanan.
Dua lagi jaringan disumbangkan oleh Roman Pavlyuchenko pada minit ke-87 dan Alan Hutton pada minit ke-90.
Wolves terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Steven Fletcher pada separuh masa pertama.
Kelab tercorot, West Ham akhirnya meraih mata pertama pada musim ini selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Stoke City di Stadium Britannia, semalam.
Tewas dalam semua empat perlawanan sebelum ini, kelab dari timur London itu berada di hadapan melalui Scott Parker yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Stoke pada minit ke-32.
Namun, penyerang Trinidad dan Tobago, Kenwyne Jones menyamakan kedudukan pada minit ke-48 melalui tandukan selepas menyambut hantaran silang daripada Jermaine Pennant. - Agensi





















