KUALA LUMPUR, 25 Sept — Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunan dua cabang di negeri itu semalam ekoran kekecohan dan isu kewujudan pengundi ‘berganda’ atau perwakilan tidak sah.
Hari ini, mesyuarat agung tahunan Kuala Nerus di Terengganu ditangguhkan ekoran ketiadaan senarai calon muktamad ketika proses pengundian hendak dijalankan.
Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim mengesahkan beliau terpaksa meminta Jabatan Pemilihan Parti (JPP) agar membatalkan mesyuarat kedua-dua cabang berkenaan ekoran masalah yang wujud semalam.
Di Jerai, menurut beliau, tercetus masalah tidak mematuhi prosedur betul pemilihan di mana ada situasi di mana ada ahli yang “mengundi dua tiga kali.”
“Ini tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau hari ini.
“Apabila saya mendapati sistem pemilihan tidak ikut prosedur iaitu ada orang mengundi dua tiga kali, saya meminta wakil JPP supaya menghentikan pengundian dan ia akan diadakan kemudian,” kata beliau.
Menurut Ahmad, ahli diberikan kertas undi dengan mudah dengan nama mereka tidak dipotong dari senarai atau ditandakan bahawa hli-ahli yang terbabit sudah pun mengundi.
“Jadi ada ahli yang mengambil kesempatan mengundi lebih daripada sekali.
“Malah, ada yang membeli resit daripada kedai untuk menunjukkan mereka adalah adil, cuma ada cap parti dan tandatangan... ini semua berlaku,” kata beliau.
Ahmad mengakui masalah seumpama itu tidak berlaku di cabang-cabang lain di Kedah setakat ini.
Dalam pada itu menurut Ahmad, mesyuarat Merbok terpaksa ditangguhkan ekoran kekecohan akibat pergeseran di kalangan pengundi ketika proses pengundian dijalankan.
“Wujud pergeseran ketika hendak mengundi. Apabila pengawas tidak dapat mengawal keadaan, wujud kekecohan,” kata beliau.
Ahmad juga berkata, selain kemudahan tempat mengundi yang tidak sesuai, bilangan pengawas seramai tiga orang juga tidak mencukupi untuk mengawal keadaan.
“Jadi keadaan menjadi kecoh,” katanya.
“Tak kena, jadi sistem kena dibetulkan,” kata beliau.
Selain Jerai dan Merbok, tiga lagi cabang yang mengadakan mesyuarat semalam ialah Sik, Sungai Petani dan Baling.
Padang Serai dijadual minggu depan.
Ahmad tidak pasti bila mesyuarat Jerai dan Merbok akan dilangsung.
Dalam pada itu, Ketua cabang Kuala Nerus Wan Bukhari Wan Mohamad berkata mesyuarat agung tahunan cabang tersebut dibatal dan ditangguhkan selepas tiada senarai calon muktamad dikemukakan semasa pengundian hendak dijalankan.
“Apabila ini berlaku, ada yang membantah.
“Jadi kami meluluskan usul 27 menyokong dan 14 membantah untuk menangguhkan mesyuarat dan pengundian,” kata beliau ketika dihubungi.
Hari ini 38 cabang mengadakan mesyuarat agung tahunan di seluruh negara.
