SHAH ALAM 18 SEPT: DAP Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia dan Ahli Majis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Mohd Zahid Md Arip kerana memfitnah parti itu dalam isu pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.
Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San mendakwa, kenyataan Mohd Zahid yang disiarkan akhbar milikan Umno itu cuba mengaitkan DAP dengan kes itu sebagai tidak berasas dan bertujuan memburuk-burukkan DAP.
"DAP berpendapat bahawa semua pihak tidak harus menggunakan isu sosial ini sebagai isu politik dan polis harus diberi peluang untuk menyelesaikan siasatan mereka," kata beliau yang juga ADUN Kampung Tungku
Kelmarin, Mohd Zahid mempersoalkan kenapa DAP langsung tidak bersuara bagi mengutuk pembunuhan kejam tersebut, sedangkan sebelum ini parti berkenaan mendakwa organisasi mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak semua pihak.
Bekas exco Pemuda PKR itu mempersoalkan sama ada tindakan itu berkaitan dengan dakwaan bahawa suspek utama adalah ahli seumur hidup DAP.
"Suspek itu tidak pernah menjadi ahli DAP, apa lagi menjadi ahli seumur hidup, sesetengah pihak cuba menjadikan pembunuhan itu sebagai isu perkauman di negara ini, " terang Weng San dalam blognya hari ini.
Beliau juga meminta polis menyiasat Mohd Zahid yang keluar dari PKR pada 2006 dan akhbar harian berbahasa Melayu milik Umno mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
