ARTIKEL SEBELUM

2/08/10

Tangkap ! Foto.






Dua hari selepas Tengku Razaleigh menyeru generasi muda supaya bangkit meruntuhkan sistem yang selama ini dibina atas nama rasuah dan perompakan, polis malam tadi menyerbu dan meleraikan perhimpunan aman memperingati 50 tahun kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Kekerasan operasi malam semalam seolah pembalasan kepada keengganan rakyat biasa berdiam-diri, yang sebaliknya secara konsisten setiap tahun mendesak Kerajaan menghapuskan akta yang dirumus khas untuk memburu dan mencantas insurgensi komunis.

Cuma malam semalam, TV Selangor difahamkan tiada ahli Parti Komunis Malaysia ditahan di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Cuma aktivis-aktivis muda serta golongan ibu dan bapa yang bimbangkan masa hadapan generasi yang terpaksa hidup dibayangi taring ISA.

Acara yang sepatutnya menyaksikan pembakaran lilin secara aman sebagai mengenang kesengsaraan yang dilalui mangsa-mangsa ISA bertukar gawat, apabila polis mula menghalau peserta perhimpunan aman, serta mendirikan sekatan di sekitar lokasi kejadian.

Unit anti-rusuhan bersenjatakan belantan dan perisai kalis bahan menyerbu Padang Timur Dataran MBPJ bagi menghalang sekumpulan 300 orang dari membuka tirai malam anti-ISA dengan nyanyian lagu Negara Ku.

Wartawan kami di lapangan, Mohd Naeem Mohd Rafi, melaporkan sekurang-kurangnya 20 ditahan di awal operasi polis, sekitar jam 8.30 malam tadi. TV Selangor kemudiannya difahamkan tidak kurang dari 30 telah ditahan, termasuk Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat Badrul Hisham Shaharin, serta aktivis muda Mohd Fiqtriey dan Enalini Enumalai.

Namun baru sahaja kelmarin, di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia di ibu negara, pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menggesa mahasiswa dan generasi baru supaya berani memperbetulkan sistem politik tanahair yang menyekat bantahan terhadap status quo melalui akta zalim ISA.

Ketua Polis Petaling Jaya Arjunaidi Mohamed berkata matlamat operasi malam semalam adalah meleraikan perhimpunan yang dibuat secara haram, tanpa permit polis. Polis juga memaklumkan 30 orang yang ditahan terdiri dari 22 lelaki dan lapan wanita.

Operasi dihentikan sekitar 9.15 malam.

"MBPJ telah beri kelulusan secara bertulis kepada pihak penganjur. Namun polis langsung tidak menghormati agensi yang berkuasa. Mereka merempuh, dan langsung tidak menghormati rakyat yang berkumpul secara aman. Di seluruh dunia, ini dianggap normal, tetapi disini ia dianggap jenayah yang besar," ujar Ahli Majlis MBPJ Latheefa Koya.

Sementara itu di Ipoh, ketumbukan anggota polis mendirikan sekatan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dan orang-ramai dihalang dari memasuki kawasan itu. Kira-kira 200 orang berhimpun dalam vigil selama 30 minit tanpa sebarang insiden.

Manakala bandaraya Georgetown turut menyaksikan dua aktivis - Choo Choon Kai dan Kris Khaira - ditahan.

Polis Pulau Pinang menampal notis di Speaker's Square Georgetown melarang perhimpunan haram diadakan di situ. Lebih 180 anggota polis dikerah bagi memastikan 100 peserta perhimpunan aman bersurai dalam masa lima minit.

Dalam pada masa yang sama, kira-kira 10 individu tampil mendedahkan diri mereka penyokong ISA.

Peguam Darshan Singh dan aktivis Ong Jing Cheng turut dibawa ke balai polis daerah Jelutung untuk disoal-siasat. Bagaimanapun tiada penyokong-penyokong ISA ditahan malam semalam.

Di Kelantan, penyelaras perhimpunan anti-ISA Zaidi Musa dan Hamidi Musa turut ditahan polis seusai acara tamat.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud