PULAU PINANG 23 Ogos - Setelah gagal mengugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dengan pelbagai dakyat dan fitnah sebelum ini, terbaru Umno menggunakan isu nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang Dipertuan Agong sebagai modal politik murahan mereka.
Sambil menafi sekeras-kerasnya tohmahan yang dibuat Zahid, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim berkata siasatan awal mendapati perkara itu tidak berlaku kerana teks khutbah khatib disediakan oleh bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).
"Saya yakin selepas gagal memainkan isu perkauman sempit bagi mengembar-gemburkan kononnya kerajaan negeri menindas orang Melayu dan agama Islam, pihak tertentu sedang cuba mensabotaj pula melalui isu lain.
"Tindakan terdesak ini untuk melaga-lagakan hubungan pimpinan Pakatan Rakyat dengan pihak istana, seterusnya menimbulkan kemarahan orang Melayu seperti yang berlaku di Johor dalam isu kain rentang," tambah beliau.
Abdul Malik menjelaskan teks khutbah dikeluarkan mengikut bulan dan ia dibaca oleh semua imam masjid di seluruh negeri tetapi ada juga imam yang menggunakan teks mereka sendiri.
"Siasatan mendapati tidak berlaku begitu. Ini kerana teks khutbah yang dibaca oleh para khatib disediakan oleh JAIPP dan tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong.
Malahan katanya peraturan JAIPP juga jelas menyebut jika terdapat pentadbiran menjemput para khatib jemputan mestilah mendapat kebenaran JAIPP terlebih dahulu sebelum dibenarkan membaca khutbah.
Menurut Abdul Malik kerajaan negeri dan JAIPP tidak pernah mengeluarkan atau menerima arahan secara lisan atau bertulis untuk tujuan itu.
Menurut beliau, selepas dua tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, kerajaan negeri telah membuktikan martabat dan syiar Islam dijaga dan dimuliakan seperti peruntukan hal ehwal agama Islam ditambah 100 peratus daripada RM12.5 juta kepada RM24.3 juta sejak tahun 2008.
Begitu juga, kerajaan negeri telah memberi sumbangan Ihya Ramadhan dan Sekolah Agama Rakyat serta program yang julung kali diadakan seperti bulan Al-Quran dan anugerah hufaz yang diadakan setiap tahun yang mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Keprihatinan Lim Guan Eng menghadiri majlis agama dan sambutan Maulidur Rasul dicemburui pihak tertentu.
Ini kerana Ketua Menteri Barisan Nasional sebelum ini tidak pernah berbuat demikian dan hanya bergantung kepada talian hayat isu perkauman sempit untuk menarik semula sokongan orang Melayu.
Abdul Malik yakin majoriti rakyat Pulau Pinang tidak akan terpengaruh dengan dakyah yang cuba sebarkan oleh Umno.
Tohmahan serta fitnah yang dilemparkan pihak musuh kata beliau, tidak akan membantutkan usaha kerajaan negeri untuk terus memartabatkan agama Islam di Pulau Pinang .