Oleh Norasikin Samsi
KEPONG - Pemerintahan kerajaan Umno-BN pada ketika ini merupakan zaman 'edan' bermaksud 'gila' kerana berlakunya bencana keruntuhan negara yang dikaitkan dengan amalan seperti rasuah dan salah guna kuasa si pemerintah negara.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata , zaman edan yang berlaku sekarang dibuktikan apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menjadi mangsa fitnah Umno-BN kerana didakwa terbabit dengan skandal rasuah berhubung pemergiannya ke tanah suci Makkah.
"Zaman baik macam Nik Aziz dikatakan rasuah, yang rompak naik jadi Tun, yang bunuh naik takhta, ini zaman edan, cukuplah kita bangsa Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Orang Asli, Bugis, Bajau, semuanya mahukan perubahan, pembaharuan untuk yang lebih baik di semua peringkat, baru boleh pimpin orang lain.
Pemuda Umno pernah cakap kurang ajar sebab serang Tok Guru macam itu. Ini zaman edan. Ini peringatan, Ronggowarsito kata ini zaman edan - 'gila' kerana katanya pada zaman edan ini kamu kena berhati-hati, beringat-ingat dan berwaspada sebab yang baik macam Nik Aziz dituduh rasuah, penyamun dijadikan pejuang, yang baik dimasukkan penjara," katanya dalam Ceramah Perdana 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' di Dewan Serbaguna Taman Ehsan, dekat sini malam tadi.
Anwar sehubungan itu mempersoalkan penglibatan pimpinan tertinggi kerajaan Umno-BN di dalam pelbagai penyelewengan dan rasuah tetapi sehingga kini masih bebas malah diberi jawatan tertinggi bagi mengaut keuntungan untuk diagihkan kepada kroni mereka.
Menurut beliau, terdapat banyak lagi penyelewengan besar yang masih belum dibongkar dan tidak dibawa ke muka pengadilan sambil mengambil contoh penyelewengan Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Anwar berkata skandal tersebut telah lama dibongkarkan Pakatan Rakyat tetapi selepas tiga tahun baru dibicarakan.
"Penyelewengan PKFZ adalah antara keuntungan kecil kepada BN. Terdapat banyak lagi penyelewengan besar yang tidak diketahui umum tetapi saya tahu.
"Banyak lagi pemimpin BN tidak ditangkap dan disiasat tetapi masih terus diberi jawatan tertinggi untuk sama bantu mengorek keuntungan agar dapat dibahagikan bersama pemimpin-pemimpin BN lain," kata Penasihat Ekonomi Selangor itu lagi.
Tambah Anwar, rakyat Malaysia juga telah bosan dengan penyelewengan kerajaan BN dan memilih Pakatan sebagai landasan untuk melakukan perubahan sistem pentadbiran negara.
"Pakatan Rakyat akan pastikan rakyat dibela tanpa wujudnya penyelewengan rasuah dan politik wang jika diberi mandat untuk mentadbir negara selepas pilihan raya ke-13 nanti.
"Dia (BN) ingat pilihanraya akan datang, dia boleh menang, Pakatan yang akan menang. Kalau kalah kali ini, kita yang salah sebab mereka memang dah kalah.
"Kalau kita kaum Melayu, India dan Cina tidak bangkit bersatu, musnahlah harapan anak bangsa kita nanti," kata Anwar.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang itu juga menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membiayai Apco Worldwide untuk menyerang beliau di luar negara sebagai pengecut kerana takut segala tembelang kerajaan Malaysia akan terbongkar.
Beliau berkata, tujuan Najib mengupah Apco adalah untuk menyekat hubungan baiknya dengan pemimpin-pemimpin luar yang pernah memberi sokongan kepadanya.
Menurut Anwar lagi, Najib juga menggunakan wang rakyat membiayai Apco sebanyak RM77 juta bagi memulihkan semula imej kerajaan pusat yang tercalar setelah antarabangsa mengetahui berlakunya pelbagai penyelewengan kewangan dan rasuah melibatkan beliau dan kroninya.
"Dia (Najib) takut dengan bayang-bayang selepas membolot harta rakyat dengan kerajaan di bawah pimpinannya, justeru itu beliau mengupah Apco untuk merosakkan imej saya di luar negara.
"Tidak cukup dengan tindakan mereka, BN melibatkan saya dengan kes qazaf Saiful Bukhari, mereka juga tidak senang melihat saya mampu berinteraksi dengan pemimpin besar negara luar," ujar beliau lagi.
Anwar berkata, kekejaman kerajaan Malaysia sekarang ini telah diketahui umum di mana kerajaan menindas rakyat untuk memberi kekayaan kepada kaum keluarga dan juga kroni tanpa segan silu.
"Saya tidak bercakap bohong, rakyat sendiri boleh menilai mana ada seorang pemimpin Umno-BN yang tidak kaya dan tidak mendapat sebarang kontrak jutaan ringgit melalui kerajaan pusat.
"Kalau dah jadi pemimpin Umno dan BN, mesti orangnya kaya dan sentiasa kaya setelah mengaut keuntungan hasil dari wang rakyat.
"Kalau pemimpin Umno-BN tak kaya, bukan Umno namanya. Kerajaan BN adalah penyebab utama kemunduran negara kita ini yang mungkin akan menjadi bankrap tidak lama lagi...jadi kalau Melayu, Cina, India tak bangkit, kita dianggap kuli oleh Umno-BN," katanya.