ARTIKEL SEBELUM

30/08/10

PRU13: Sudahkah Pakatan bersedia hadapinya?




Telah diramalkan bahawa PRU-13 akan diadakan pada tahun 2011. Semua parti politik sedang membuat persediaan sekarang sebab kemungkinan PRU akan diadakan dalam awal, pertengahan ataupun akhir tahun 2011.

Bagi penulis yang tahu bahawa adalah menjadi tabiat kaum Cina yang benci buat persediaan dalam minit terakhir dan memandangkan bahawa parti MCA telah melancarkan gerak-kerja strategi mereka pada akhir bulan Julai 2010, ini bermakna bahawa PRU-13 boleh dikatakan akan diadakan dalam masa lebih kurang setahun.

Walaupun gelombang perubahan telah dimulakan pada masa tsunami politik PRU-12, penulis berpendapat ada ramai lagi rakyat Malaysia yang belum bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU-13.

Di bawah ini adalah sebab-sebab kenapa penulis berkata demikian:-

Pengundi Melayu - ini adalah kumpulan pengundi yang terbesar sekali di mana terdapat ramai daripada mereka yang masih lagi tinggal di kampung-kampung. Faktor yang amat penting di sini ialah penyaluran maklumat kepada mereka mestilah dilaksanakan dengan sempurna terutamanya kepada yang tinggal di pinggir bandar dan di kampung.

Contohnya di PRK Hulu Selangor bulan April yang lalu, ramai pengundi di situ beranggapan bahawa air percuma yang mereka terima adalah diberikan oleh Kerajaan BN. Apabila perkara sebegini berlaku, tidak hairanlah mengapa ramai pengundi Melayu di pinggir bandar dan di kampung yang mengundi BN - iaitu maklumat yang betul dan benar gagal disampaikan kepada mereka.

Sebagaimana yang semua sedia maklum, media arus perdana adalah di bawah kawalan Kerajaan BN manakala media alternatif seperti lidah rasmi parti-parti Pakatan Rakyat (Harakah dan Roket) dan suratkhabar yang berpihak kepada Pakatan Rakyat seperti Kabar Era Pakatan dan Siasah tidak sampai pengedarannya kepada penduduk-penduduk di kawasan pinggir bandar, apalagi di kampung.

Apabila maklumat dari Pakatan Rakyat gagal disampaikan kepada pengundi di kawasan yang disebut di atas, maka para pengundi di situ akan mengundi BN. Jika mereka mendapat maklumat yang benar dan betul mengenai Pakatan, mereka akan mempunyai keupayaan untuk membuat penelitian yang lebih sempurna dan terperinci mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang akan membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih baik dan bijak dalam proses pengundian nanti.

Memandangkan bahawa kekurangan maklumat yang disalurkan kepada para pengundi merupakan salah satu punca utama kekalahan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, adalah perlu Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengambil langkah-langkah yang wajar untuk membetulkan kelemahan ini. Oleh itu, penulis berpendapat perbelanjaan RM15 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk penyebaran maklumat mengenai pentadbirannya adalah langkah yang betul dan bijak.

Pengundi India - golongan ini pun ditimpa nasib kekurangan maklumat (info-deficient). Tetapi terlebih dahulu dari itu, kajian perlu dibuat untuk mengetahui kenapa terdapat lonjakan undi yang ketara kepada BN di PRK Hulu Selangor.

Pada PRU-12, kira-kira 51% pengundi India berpihak kepada pihak pembangkang (pada masa itu Pakatan Rakyat belum diwujudkan lagi). Tetapi di PRK Hulu Selangor, statistik telah menunjukkan bahawa hanya 45% sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat. Jika peratusan ini terus menjunam, maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada Pakatan Rakyat dan di kawasan-kawasan di mana kemenangan Pakatan adalah tipis (kurang dari 300 undi), mungkin akan terus kehilangan kerusi tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa kekurangan maklumat merupakan antara faktor yang menyebabkan pengundi India berpihak kepada BN. Tetapi selain daripada itu, imej BN yang merupakan parti yang boleh memberi keyakinan kepada kaum India terutamanya kaum India yang berpendapatan rendah yang tinggal di estet adalah juga faktor yang patut diambilkira.

BN memberi golongan India yang miskin dan serba kekurangan ini satu 'feel good faktor' sebab BN yang telah begitu lama wujud berjaya memaparkan satu imej kukuh yang dapat memberi keyakinan kepada kaum India yang miskin dan memerlukan tempat yang stabil untuk bergantung. Dengan adanya 'feel good faktor' terhadap BN, penulis berpendapat bahawa BN akan terus mendapat sokongan orang India yang masih tidak begitu yakin terhadap Pakatan.

Pengundi Bumiputera bukan-Melayu di Sabah dan Sarawak - pengundi dari kumpulan ini juga tidak mendapat maklumat yang betul dan benar mengenai Pakatan Rakyat dan selagi perkara ini berlaku maka mereka akan terus mengundi BN.

Perlu dijelaskan di sini hal ini adalah sedemikian kerana ramai daripada mereka tinggal di kawasan pendalaman yang terpencil yang memerlukan sama ada sampan ataupun helikopter untuk sampai ke kawasan perumahan mereka. Dan di sini Pakatan mengalami masalah untuk menyampaikan mesej ke kawasan pendalaman kerana untuk menyewa helikopter pun bukan murah dan BN boleh dikatakan mempunyai sokongan yang kukuh dari kumpulan ini disebabkan oleh faktor-faktor geografi dan kewangan yang memihak kepada BN.

Pengundi Cina - pengundi dari kumpulan ini adalah pengundi yang berpikir secara 'tactical dan practical'. Mereka akan mengundi pihak yang akan dapat memberi manfaat yang lebih dan manfaat yang ketara kepada mereka. Slogan-slogan yang menarik tidak akan dapat menarik perhatian mereka jika kedudukan mereka dari segi ekonomi sama sahaja. Contohnya, penulis ini pernah diberitahu oleh seorang pemandu teksi berbangsa Cina, "kerajaan ini ada banyak slogan, NEM, GTP, NKRA, tetapi setiap hari adakah slogan ini membantu saya cari makan? Cari makan pun bukan senang. Slogan-slogan ini bukannya masukkan wang dalam saku saya. Oleh itu saya akan mengundi pihak yang dapat memperbaiki kehidupan saya dan anak-anak saya dalam jangkamasa pendek mahupun jangkamasa panjang."

Dari rumusan di atas, penulis berpendapat perlulah pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat bekerja dengan lebih keras lagi (iaitu melebihkan aktiviti turun padang untuk berjumpa dengan para pengundi) untuk menyampaikan maklumat yang betul dan benar kepada semua rakyat Malaysia di seluruh pelusuk negara. Bukan itu sahaja tetapi imej Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan lagi dan Dasar Pakatan Rakyat harus diberitahu kepada semua rakyat Malaysia. Jika tidak, maka Putrajaya akan tinggal sebagai satu impian sahaja.


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud