Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata beliau sanggup memberi keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa memperdayakan jemaah menteri, jika dipanggil berbuat demikian.
"Jika seseorang diperlukan beri keterangan di mahkamah, dia mesti berbuat demikian...tak boleh kata tak nak,” kata Mahathir selepas pelancaran Yayasan Universiti Petronas, hari ini.
Bagaimanpun Mahanthir tidak pasti apabila diajukan soalan sama ada beliau rasa yang dirinya diperdayakan oleh Ling.
"Saya tidak tahu sama ada dia memperdayakan kabinet atau tidak. Dia hanya telah didakwa, sama ada bersalah atau tidak, tidak tahu,” katanya.
Mahathir juga agak keberatan bila ditanya sama ada langkah-langkah tertentu perlu diambil bagi memastikan jemaah menteri tidak begitu mudah diperdayakan.
"Banyak perkara yang berlaku tanpa pengetahuan kabinet,” katanya sambil melemparkan senyuman sinis.
Menurut beliau, Perdana Menteri lazimnya terpaksa menanggung segala keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri.
"Tetapi ada had terhadap tanggungjawab ini kerana ada banyak perkara yang perdana menteri tidak tahu,” katanya.