ARTIKEL SEBELUM

30/08/10

PAS Desak Hishammuddin Letak Jawatan Gagal Jalan Tugas

SHAH ALAM 30 Ogos - PAS mendesak Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen meletak jawatan segera berikutan kelemahan dalam sistem pentadbiran hingga menyebabkan kebanjiran jutaan pendatang tanpa izin di negara ini.

Desak ini berikutan laporan media mengenai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen di Pulau Ketam, Selangor.

"PAS mahu pihak kerajaan mempertingkatkan intergriti dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam langkah memerangi rasuah di negara ini.

"Kebanjiran warganegara asing tanpa izin yang dilaporkan melebihi melebihi 2.1 juta orang merupakan ancaman besar pada negara. Tetapi amat malang kerana kehadiran mereka turut didalangi oleh penguatkuasa imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warganegara asing ke negara ini," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata PAS yakin rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama pada awal tahun.

"Kelemahan urustadbir imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan negara. PAS mahu rombakan besar dibuat dalam organisasi imigresen dan mahu SPRM membuat siasatan penuh terhadap agensi ini dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

"PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah (BPR) (kini SPRM), Datuk Shafee Yahaya yang mengatakan terdapat tokoh politik dalam pentadbiran kerajaan yang menjadi punca dan mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat," tegas Idris.

Idris menegaskan SPRM seharusnya menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak terhadap mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah kalangan wakil rakyat dan Menteri.

Kerajaan juga perlu serius untuk meningkatkan keupayaan SPRM dengan menambahkan kuasanya, meningkatkan jumlah anggota penyiasat serta membekalkan peralatan logistik yang sewajarnya.

"PAS yakin, begitu banyak amalan rasuah yang berleluasa dalam agensi kerajaan kerana setiap tahun Laporan Audit Negara pasti akan membentangkan kecurangan yang sukar diterima rakyat. Oleh itu setiap kementerian dan jabatan penguatkuasaan perlu melantik satu jawatankuasa khas membanteras rasuah bagi membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM serta meningkatkan intergriti jabatan mereka.

"PAS menasihatkan agar para penjawat awam meningkatkan intergriti mereka dan menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya. Tidak semua penjawat awam mengamalkan rasuah tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelangga.

"PAS yakin, amalan rasuah dan kecurangan intergriti ini akan dapat dihapuskan jika pemimpin yang menguruskan kerajaan ini terdiri dari orang-orang yang amanah kerana ikan yang busuk hanya bermula dari kepalanya," ujar beliau lagi.- SK

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud