MIRI: Sebelas gerai bazar Ramadan di pusat komersial Saberkas di sini ranap selepas dahan sebatang pokok besar tumbang awal hari ini.
Kejadian itu mendorong Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut, Andy Chia menggesa agar pihak berkuasa berkaitan meneliti semula aspek keselamatan keseluruhan bazar terbesar di bandar raya ini yang mempunyai 140 gerai.
"Cuba bayangkan sekiranya ia berlaku di sebelah siang dengan ribuan orang ramai di sekitar," katanya di sini.
Katanya, Majlis Bandaraya Miri (MCC) yang bertanggungjawab menyelenggara pokok Gaya yang mana dahannya sudah tumbang, agar memastikan pokok itu tidak menimbulkan bahaya kepada orang ramai.
Beliau juga berkata alat pemadam api supaya sepatutnya dibekalkan kepada peniaga di bazar, bagi mempersiapkan mereka jika berlaku kecemasan.
-Bernama