ARTIKEL SEBELUM

26/08/10

Khutbah: Polis lunak, hanya Umno serang hebat

Harakah


KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob berhubung isu khutbah di negeri itu sebagai pelik.

"Seingat saya, polis hampir tidak pernah gagal bersikap keras kepada pembangkang.

"Tetapi apabila Ayub bersikap begitu lunak, adakah ia bermakna tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Ustaz Zakaria Ahmad (khatib) yang diserang hebat oleh Umno itu?" kata beliau.

Polis Pulau Pinang, kata Mohamad, telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat "jerit-pekik" Umno kononnya Zakaria menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

"Ketika kita pun ingin tahu apakah kesalahan yang kononnya dilakukan, tiba-tiba Ayub menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Umno menggunakan semangat Ramadan untuk mengetepikan perselisihan masing-masing berhubung isu khutbah itu.

"Kenapa polis lunak sangat? Polis tidak takutkah Umno akan histeria lagi dengan sikap lunaknya itu. Mustahil polis tidak takut kepada Umno," kata Mohamad.

Ketua Polis Pulau Pinang itu berkata, berkata dua minggu pertama Ramadan merupakan ujian kepada setiap orang dan kesemua pihak terbabit perlu menggunakan tempoh menjelang 1 Syawal ini untuk mencapai jalan damai.

“Letakkan di tepi salah faham dan ketegangan dan uruskan (dengan baik) separuh kedua bulan Ramadan,” kata Ayub kepada pemberita selepas menerima sumbangan kerajaan negeri sempena Aidilfitri.

Mohamad tidak menolak kemungkinan Umno sangat tidak berpuas hati dengan kenyataan Ayub itu.

"Walau dengan apa cara pun, yang paling penting bagi Umno ialah ia mahu melihat kerajaan negeri Pulau Pinang dipersalahkan atas isu khutbah itu.

"Bila Ketua Polis suruh letak di tepi salah faham dan ketegangan, itu sangat bertentangan dengan keinginan Umno yang belum dapat lagi merawat kekecewaanya kerana kehilangan kuasa di Pulau Pinang," katanya.

Isu membaca doa untuk Lim kononnya bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim memberitahu siasatan awal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menunjukkan tindakan menukarkan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim tidak pernah berlaku.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud