KOTA BHARU – Sejumlah 535 kes jenayah keganasan dilaporkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini di negeri ini berbanding 476 kes pada tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim.
Katanya, indeks jenayah harta benda bagaimanapun turun sebanyak 66 kes atau 1.74 peratus apabila 3,784 kes dicatatkan dalam tempoh berkenaan tahun lalu kepada 3,718 kes tahun ini.
"Penurunan itu saya percaya ada hubung kaitnya dengan langkah kontinjen Kelantan memupuk kerjasama yang erat antara polis dengan masyarakat melalui “community policing”.
"Antaranya mengadakan hubungan baik dan kerjasama dengan ahli-ahli kawasan rukun tetangga, skim ronda sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Lions Club dan persatuan lain di sini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis persaraan dan penyerahan tugasnya kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mazlan Lazim, di sini semalam.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi serta ketua-ketua balai polis seluruh negeri. – Bernama
