ARTIKEL SEBELUM

6/08/10

'Bukan isteri kedua' dan 'Tiada skandal'

pix_gal0



TANJUNG KARANG: “Arwah bukan isteri kedua Datuk Aziz (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh). Dia kerani saja.


SUNYI...rumah Siti Rohana di Kampung Sungai Gulang-Gulang.
SUNYI...rumah Siti Rohana di Kampung Sungai Gulang-Gulang.


“Orang ingat dia isteri kedua sebab kerja dia kena ikut bos,” kata Siti Badariah Ahmad, 62, ibu Siti Rohana Ismat, 43 yang ditemui mati dengan kesan tembakan bersama Abdul Aziz dalam sebuah kereta, kelmarin.

Siti Badariah yang ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gulang-Gulang di sini, semalam menegaskan dia tahu segala pergerakan dan apa yang berlaku kepada anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dia turut kesal dengan andaian dibuat segelintir pihak tanpa merujuk ahli keluarga terdekat terlebih dulu.Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kedua-dua mereka dipercayai mati akibat tembakan dilepaskan dari jarak dekat dan berdasarkan siasatan awal polis, tiada bukti tembakan dilepaskan dari luar kenderaan.

Siasatan awal polis mendapati terdapat satu kesan tembakan pada kepala Abdul Aziz manakala kepala Siti Rohana mempunyai dua kesan tembakan. Turut ditemui sepucuk pistol revolver .38 dalam Toyota Caldina dinaiki mereka.

Siti Rohana yang berstatus janda selepas berpisah dengan suaminya sejak lima tahun lalu meninggalkan tiga anak iaitu, Izatty Natasya Aziz, 19, Illiyani Nazira Aziz, 16, dan Mohd Izat Aziz, 9.

Ditanya sejauh mana perkenalan anaknya yang juga Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang itu, Siti Badariah berkata, ketika Abdul Aziz menjadi Adun Permatang, Allahyarham menyewa sebuah rumah kosong di kampung itu untuk dijadikan pusat khidmatnya sementara menunggu pejabat barunya siap.

“Sejak itu dia dan anak saya mula rapat. Itu pun sebagai bos dengan pekerja. Tambahan pula anak saya juga aktif berpolitik di sini,” katanya.

Pada masa sama, Siti Badariah berharap polis dapat menyiasat kejadian itu segera dan menganggap apa yang berlaku ke atas anaknya sebagai kejadian bunuh.

“Dia tak ada musuh atau pernah terima ugutan dan apa yang berlaku ke atasnya mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, suami Siti Badariah, Ismat Shafie, 74, menyifatkan kejadian terbabit suratan takdir dan dugaan tuhan terhadap keluarganya.

“Setiap yang bernyawa pasti mati. Mungkin Tuhan lebih sayangkannya. Tapi, saya reda dengan apa yang berlaku dan ia ketentuan Tuhan,” katanya pilu.

Ismat berkata, dia tidak pernah jumpa Abdul Aziz, tetapi tahu dia bekas Adun Permatang.

“Saya tak nak masuk campur urusan orang muda dan saya tak pernah tanya. Itu urusan orang muda. Malah, arwah tak pernah mengadu hal dengan saya,” katanya.

Tinjauan di rumah Siti Rohana yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah ibunya mendapati pintu pagarnya tertutup rapat berikutan ketiga-tiga anaknya tinggal bersama Siti Badariah kecuali anak bongsunya dibawa bekas suami ke rumahnya tidak jauh dari situ untuk menenangkannya.

“Dari dulu orang cakap macam tu (ada hubungan), tapi tidak. Mereka rapat kerana kerja. Malah, dia (Siti Rohana) ada semua...tanah, rumah sendiri, harta. Kenapa nak ambil hak orang lain lagi?,” katanya.

Abdul Aziz, 64, dan Siti Rohana yang juga bekas pembantu peribadinya ketika menyandang jawatan Yang Berhormat, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Kilometer 455.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat Sungai Buloh, kelmarin.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud