Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Barisan Nasional untuk tidak mempolitikkan isu doa khutbah solat Jumaat.
Asri berkata tiada salahnya mendoakan panduan dan petunjuk diberi kepada pemimpin, atau mendoakan kerajaan yang bersimpati dan adil pada rakyat.
"Jangan politikkan isu ini. Saya minta Pakatan Rakyat dan juga BN untuk tidak mempolitikkannya," kata Asri, yang menambah beliau tidak tahu sejauh mana kesahihan dakwaan Umno berhubung perkara ini.
Beliau menambah apa yang tidak boleh dilakukan adalah mendoakan kesejahteraan untuk seorang pemimpin yang tidak adil, serta memanjatkan pujian-pujian akan pentadbirannya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendakwa beberapa masjid di Permatang Pauh dan Jelutong menggantikan nama Yang Dipertuan Agong kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam doa khutbah mereka.
Kerajaan Negeri dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagaimanapun menafikan mengeluarkan arahan kepada mana-mana masjid, dan berikrar menghukum mereka yang didapati berbuat demikian selepas siasatan dijalankan.
Lidah Umno bagaimanapun terus memainkan isu ini dan terbaru, khatib Masjid Jamek Padang Menora dikatakan telah menyebut nama Ketua Menteri dalam doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.
Imam Ibrahim Ishak berkata nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukan.
Khatib tersebut nampaknya mendoakan tuhan supaya membuka pintu hati Lim Guan Eng untuk menerima Islam.