Peguam utama Anwar, Karpal Singh memaklumkan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bahawa satu permohonan telah dibuat pagi ini sambil mendakwa pasukan pendakwa diketuai Penguam Cara Kanan II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden telah berkompromi dalam soal integriti ekoran dakwaan hubungan Saiful dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Farah Azlina Latif.
Karpal berkata pihaknya mendapati ada kesalahan dilakukan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Ekoran hubungan (romantis) itu, integriti pendakwa telah dikompromi,” kata Karpal di mahkamah pagi ini.
Perbicaraan kes liwat disambung semula buat kali pertama hari ini sejak hubungan kedua-dua mereka terdedah dua minggu lalu.
Kes itu ditangguh sebelum ini kerana Karpal kurang sihat.
Karpal berkata keseluruhan pasukan pendakwaan seharusnya “berundur” memandangkan apa yang berlaku sekarang boleh memberi kesan ke atas kes dihadapi Anwar.
“(Oleh itu) tuduhan ke atas Anwar perlu diketepikan,” kata Karpal sambil menambah, timbalan pendakwa raya adalah sebahagian daripada pasukan pendakwa.
“... (dengan) mengadakan hubungan (romantis), ada kemungkinan Saiful mengetahui keseluruhan siasatan,” kata beliau.
Mohd Yusof pula mendakwa dakwaan itu “tidak berasas sama sekali.”
Pasukan peguam Anwar mengemuakkan satu surat yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara minggu lalu menjawab permintaan mereka akan diperjelaskan dakwaan hubungan kedua-dua Saiful dan Farah Azlina.
Ekoran permintaan itu Zabidin mengarahkan mahkamah berehat sementara beliau mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan pendakwa dan pembela di kamarnya.
Pada 27 Julai lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan Farah Azlina Latif telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang itu.
Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.
Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama.
Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.
Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, kata Peguam Negara.
Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.