ARTIKEL SEBELUM

14/07/10

Sidang Dun Perak - ADUN PR beri jaminan tiada kecoh






IPOH – Pakatan Rakyat (PR) Perak memberi jaminan bahawa kekecohan yang berlaku pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu tidak akan berlaku pada 3 Ogos nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan, Datuk Ngeh Khoo Ham berkata, beliau memohon kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi kerjasama dalam memastikan persidangan kali ini berjalan lancar.

“Kita telah menyatakan hasrat kita iaitu memastikan sidang DUN akan dapat berjalan lancar dan kita meminta beliau memberi kerjasama dalam memastikan semua soalan yang ditanya oleh ADUN dapat dijawab dan juga peluang untuk berdebat akan diberikan kepada semua ADUN.

“Saya hendak dapatkan jaminan daripadanya bahawa polis juga tidak akan mengerumuni dan memasuki kawasan Dewan selain mikrofon ADUN-ADUN Pakatan Rakyat (PR) tidak ditutup dan media dilayan dengan baik,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di di Pejabat Perhubungan Pas Perak, semalam.

Menurutnya, dalam masa sama, mereka akan bekerjasama dengan Datuk R Ganesan sebagai pengerusi mesyuarat.

“Siapa speaker sah itu satu soalan perundangan sehingga dijawab oleh mahkamah. Demi kebaikan rakyat dan kepentingan rakyat, kami bersetuju dan bersedia bekerjasama membenarkan Datuk Ganesan mempengerusikan mesyuarat tetapi bukan sebagai speaker,” katanya.

Khoo Ham berkata, beliau turut mempertikai isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat yang tidak dibalas oleh Datuk Seri Dr Zambry.

“Sebagai Menteri Besar dan kerajaan, dia harus menjawab. Ini sistem demokrasi. Dia bertanggungjawab menjawab soalan. Isu akan dibangkitkan oleh wakil rakyat adalah isu rakyat.

“Selain itu, notis untuk hadir pada persidangan ini juga tidak disertakan apa-apa agenda. Ini perkara pelik yang menunjukkan mereka tidak mengikut peraturan,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud