Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafie berkata demonstrasi anjuran Umno dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam berhubung isu pasir adalah agenda politik murahan Umno-BN kerana sangat tercabar dengan kewibawaan Pakatan Rakyat Selangor mengurus gejala kecurian pasir secara berhemah dan professional.
Malah Shuhaimi mendakwa, kerajaan negeri mempunyai cukup bukti siapa sebenarnya 'penyangak' dalam isu curi pasir dan pihaknya bersedia mendedahkan perkara sebenar berhubung isu ini.
"Apa yang mereka lakukan pada hari ini (semalam) adalah untuk mengalih pandangan rakyat kepada isu yang sebenar dan sebab itu saya menjangkakan dalam kepala kepimpinan BN di peringkat pusat, mereka mempunyai perancangan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka itu mereka mungkin melalui nasihat daripada Apco dan sebagainya mula menyerang Selangor secara sistematik.
"Kita tahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memang mahukan Selangor dan ada arahan yang dikeluarkan kepada agensi-agensi di bawah persekutuan yang mahu mengambil alih Selangor secara kasar ataupun lembut," katanya kepada Suara Keadilan selepas menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor yang berakhir semalam.
Beliau mendesak pemimpin Umno-BN menghentikan politik kotor mereka kerana Pakatan Rakyat Selangor sentiasa bersedia membongkar perkara sebenar behubung isu pasir ini.
"Saya tidak berhajat untuk membuka fail-fail yang melibatkan saudara-mara kepada kepimpinan bekas Menteri Besar dari Sungai Panjang dulu.
"Tetapi kita ada maklumat tentang itu, jadi sebarang tindakan yang hendak dilakukan itu sebenarnya seperti ibarat meludah ke langit sebab jika kita bongkarkan kesemuanya, yang mendapat malu adalah orang dari Sungai Panjang (Khir Toyo).
"Saya juga tidak terkejut dengan serangan ini kerana ia merupakan serangan terancang dan kita akan saksikan lebih banyak lagi serangan yang akan dilakukan selepas ini.
"Kita juga bersedia untuk menyerang balas balik dengan pendedahan-pendedahan yang pasti akan mengecutkan kepimpinan Umno," kata Shuhaimi.
Bagaimanapun katanya, serangan yang bakal dilakukan Pakatan Selangor adalah berlandaskan politik matang dan mengikut ketamadunan manusia.
"Kita juga harus berpolitik secara matang dan boleh diterima oleh mereka yang bertamadun dan jangan melakukan serangan yang di luar ketamadunan manusia.
"Apa pun yang mereka lakukan sekarang ini yang pasti akhirnya kebenaran akan terbukti walaupun mereka hari ini cuba menyelitkan diri mereka sebagai juara isu pasir di Selangor, realiti yang sebenarnya, penyagak, pencuri, dan perampas yang sebenar pasir ini adalah didalangi oleh kepimpinan Umno-BN dulu kerana mereka terlalu marah sangat apabila hasil pendapatan mereka sudah berkurang.
"Kalau dulu dengan melalui penyangak-penyangak ini,mereka mempunyai aset tetap yang disimpan oleh tauke-tauke ini tetapi hari ini, mereka tidak lagi mempunyai ruang ke arah itu disebabkan itu mereka rasa tak cukup makan.
"Kemiskinan yang dialami oleh pemimpin Umno ini membuatkan mereka menyalak tak tentu hala. Tampil seolah-olah merekalah pejuang rakyat sedangkan merekalah sebenarnya juara kepada segala pencuri-pencuri pasir ini kerana merekalah yang melindungi aktiviti-aktiviti yang sejak puluhan tahun dulu sudahpun berlaku terutama sekali waktu pentadbiran terdahulu, kenapa mereka tak bising dari dahulu lagi?, tegas Shuhaimi lagi.
Lebih 300 penyokong Umno dan Perkasa berhimpun di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada pukul 11.15 pagi semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan yang diterima oleh Setiausaha Eksekutif Penerangan, Azman Abidin.
Memorandum itu disampaikan bersama oleh Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Ghazali, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Pengerusi Perkasa Selangor, Abdullah Mansor.
Memorandum itu antaranya mendesak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menarik balik kuasa monopoli syarikat pengurusan pasir kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam pengurusan pasir negeri, menamatkan perkhidmatan semua ahli lembaga pengarahnya dan menubuhkan jawatankuas bertindak bagi memulihkan lombong-lombong pasir negeri.
Sementara itu, kira-kira 100 penyokong Pakatan Rakyat daripada Skuad Komunikasi Selangor yang diketuai Pengarah Penerangan Kerajaan Selangor, Dr Badrulamin Baharon mula berkumpul di dalam kawasan bangunan pentadbiran itu.
Terdahulu, ahli parti komponen BN dan NGO yang diketuai Exco Pemuda Umno, Lokman Nor Adam itu berarak membawa memorandum itu dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke bangunan SUK sejauh 1.5 kilometer.
Dalam perhimpunan itu, mereka turut melaungkan slogan berbunyi 'Hidup rakyat', 'PKR perompak pasir'.
Setiba di hadapan bangunan SUK, mereka meluru ke arah penyokong Pakatan Rakyat yang berkumpul di situ.
Penyokong kedua belah pihak saling mengejek antara satu sama lain. 'Umno rompak. Tangkap Toyo' jerit penyokong kerajaan negeri.
Seramai 60 anggota polis berkawal bagaimanapun berjaya menenangkan keadaan dan memberikan masa 15 minit untuk masing-masing bersurai.