ARTIKEL SEBELUM

1/07/10

Saya Tidak Desak Anwar Ibrahim

Dzulfikar Mashoor


"Saya tidak mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatakan pendirian peribadinya dengan Yahudi, saya desak dia nyatakan pendirian berhubung laporan Washington Post itu," tegas Datuk Harun Taib (kanan).

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu membuat penegasan demikian ketika diminta mengulas lanjut berhubung berita mStar Online hari ini yang berjudul 'Isu Israel: Ketua Dewan Ulama PAS Minta Anwar Nyatakan Pendirian'.

Pun begitu, beliau mengaku bahawa beliau enggan memberi lebih banyak komentar berhubung laporan akhbar antarabangsa itu sebagaimana yang dilaporkan oleh wartawan mStar, Ariffuddin Ishak tadi.

Namun, sekiranya benar sekali pun berita tersebut, beliau berkata, kenyataan Anwar itu bukanlah mencerminkan pendirian umum Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendirian PAS konsisten menentang kezaliman zionis Israel di Gaza, terutama sejak armada Mavi Marmara dihalang menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (kiri) yang dihubungi kemudian pula mempersoalkan status Washington Post di sebalik konflik yang menjerut leher politik Anwar, Ketua Umum PKR.

"Anwar sudah jelaskan bahawa dia tidak mohon maaf pada Yahudi, tetapi akhbar-akhbar ini terus menyerang dia padahal dia beberapa hari di sebuah negara (Amerika Syarikat) yang nyata sokong Yahudi.

"Sepatutnya Anwar perlu dilayan istimewa seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita sebelum ini yang dapat petunjuk APCO Yahudi untuk menyokong dasar luas Amerika terhadap status negara haram Israel," katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pelobi Yahudi di Rumah Putih serta propagandis dalam Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) bertanggungjawab dalam membunuh karektor Anwar di peringkat antarabangsa sejak beberapa bulan lalu.

Dari kemungkinan itu juga, beliau berkata, sekaligus menyerlahkan lagi peranan APCO dalam menggunakan media arus perdana tempatan untuk mengenakan Anwar.

"Kalau sudah Washington Post pun mungkin didalangi oleh agen-agen mereka, tak mustahil beberapa media tempatan (pro) Umno ini pun terbabit kerana APCO adalah tempat mereka (kerajaan) pohon petunjuk dari segi komunikasi," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menyindir kepemimpinan tertentu dalam kerajaan.

"Petunjuk dari APCO ini nampaknya mujarab untuk Najib, dia dah guna kaedah Yahudi yang selalu kita tonton dalam televisyen untuk bunuh pemimpin pembangkang yang anti Yahudi.

"Inilah kejayaan, kalau tidak takkan timbalannya (Tan Sri Muhyiddin) sendiri boleh percaya dengan berita antarabangsa itu (Washington Post) untuk bunuh mana-mana pemimpin pembangkang yang dilihat anti Yahudi (dan) anti-perkauman di negara ini," jelasnya.

Melihat pada jalur permainan media di peringkat antarabangsa dan tempatan terbabit dalam membunuh karektor Anwar, beliau berkata, agen Yahudi serta agen APCO terbabit mungkin berminat untuk membantu Umno menghadapi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

"Kalau dah begini kaedah Yahudi APCO bekerja di peringkat antarabangsa, tak mustahil mereka ini berminat untuk bantu Umno BN membuat kejutan dalam pilihan raya umum depan ini," jelasnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud