ARTIKEL SEBELUM

22/07/10

Sah remaja mangsa rogol

KOTA BAHARU: Polis Kelantan mengesahkan, seorang remaja yang ditemui mati dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan di Pulai Chondong, Machang dua hari lalu, telah dirogol.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan pihak hospital terhadap remaja berkenaan mendapati mangsa dirogol bagaimanapun pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada mangsa dirogol sebelum ditikam atau sebaliknya.


"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan sehingga kini kita hanya dapat mengesahkan bahawa mangsa dirogol melalui bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).


"Bagaimanapun sama ada mangsa dirogol sebelum ditikam atau ditikam dan kemudian dirogol itu belum dapat kita pastikan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari sempena lawatan persaraan beliau sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan, di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Baharu, Pengkalan Chepa hari ini.


Selain itu mengenai dakwaan mangsa dirogol beberapa kali itu juga, beliau berkata, polis tidak dapat mengesahkan perkara tersebut.


Amir Hamzah berkata, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan pihaknya berhubung kes itu bagaimanapun polis sudah mengenal pasti seorang individu yang dipercayai suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan itu.


Menurutnya, tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu.


Dua hari lalu, seorang gadis yang dikenali sebagai Ilya Nabilah Rosnata, 19, yang berasal dari Kampung Pendek, Kota Baharu ditemui mati dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan, Pulai Chondong, di Machang.


Mayat mangsa, yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lalu ditemui terapung-apung di dalam Sungai Bagan yang terletak di sebuah ladang kelapa sawit itu dijumpai diikat pada sebatang pokok di tebing sungai oleh penduduk kampung dalam keadaan bogel selain terdapat kesan tikaman di dada.


Mengulas berkenaan majlis itu, Amir Hamzah berkata, beliau akan bersara pada 12 Ogos ini selepas tiga tahun menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan iaitu pada 7 Ogos 2007.


Amir Hamzah mula berkhidmat sebagai anggota polis selama 35 tahun iaitu pada 18 Jun 1975.-Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud