Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 6 Julai - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional dan juga Polis DiRaja Malaysia yang dilihat terlalu agresif melayan dakwaan yang mengatakan KEADILAN membiayai serta bertemu Raja Petra Kamaruddin di London.
Ini menjurus kepada kenyataan PDRM yang menegaskan bahawa pihak polis akan melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
"Apa masalahnya? Saya nak tahu juga, kenapa salah ke kita berjumpa dengan Raja Petra. Saya kalau ke London akan berjumpa juga dengan Raja Petra, jadi salah ke saya jumpa beliau.
"Inilah kerja Umno-Barisan Nasional yang kita tidak tahu apa yang mereka takut sehingga bila pemimpin dalam Pakatan Rakyat ke London berjumpa Raja Petra mahupun P Balasubramaniam, terus kecoh.
"PDRM sepatutnya siasat kes yang belum selesai di dalam negara ini seperti pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang telah didedahkan dengan pelbagai bukti terhadap mereka yang berkaitan mahu pun kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene. Kenapa yang dalam negara tidak disiasat sedangkan kes di luar terus ambil tindakan segera?
"Yang saya hairankan bila kita (Pakatan Rakyat) pergi jumpa Raja Petra mahu pun Bala terus saja PDRM nak lakukan siasatan dan buat tangkapan, sedangkan sebelum ini mereka tahu di mana Raja Petra berada kenapa tidak bertindak," kata Anwar pada sidang media di parlimen hari ini.
Tambah beliau lagi, tindakan yang dilakukan oleh Ketua polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hanyalah bersifat politik semata-mata dan bukannya atas dasar tanggungjawab.
"Ini hanya bersifat politik semata-mata, kalau mereka betul-betul serius dah lama perkara ini dapat di selesaikan, bila pemimpin Pakatan Rakyat jumpa Raja Petra baru bertindak, jadi jelas atas dasar politik semata-mata.
"Tuduhan kita (KEADILAN) biayai Raja Petra kemukakan bukti tersebut bukan hanya pandai mengeluarkan kenyataan," cabar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Sebelum itu satu kenyataan lain, pihak polis mengatakan akan bekerjasama dengan Interpol bagi menahan Raja Petra Kamaruddin mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
Selain itu polis juga mempunyai waran tangkap yang telah dikeluarkan oleh mahkamah serta mengatakan mereka boleh bertindak bila-bila masa kerana telah mempunyai kuasa tersebut.
Tindak tanduk pihak polis itu menjadi persoalan Ketua Pembangkang kerana sebelum ini tidak timbul sebarang isu untuk melakukan penangkapan Raja Petra di London sehingga tersiarnya laporan pertemuan pemimpin Pakatan Rakyat dengan Raja Petra di London baru-baru ini.
Selain bertemu Raja Petra, KEADILAN juga didakwa membiayai perbelanjaan editor laman web Malaysia Today itu sepanjang beliau berada di kotaraya itu.