ARTIKEL SEBELUM

27/07/10

MB Selangor berang siasatan ahli majlis 'bocor'

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengakui bahawa kerajaan negeri itu sedang menyiasat kes melibatkan seorang ahli majlis yang menyalah-gunakan surat rasmi exco kerajaan untuk mendapatkan kontrak bagi kroninya.

Khalid berkata siasatan dalaman telahpun dijalankan sejak "dua atau tiga minggu lalu."

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Khalid juga berkata beliau berasa malu kerana hasil siasatan itu telah dibocorkan.

Beliau mengulas laporan akhbar The Star hari ini yang menyebut, ahli majlis daripada parti DAP itu juga merupakan seorang pemimpin veteran dan mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan parti negeri.

Ahli majlis berkenaan didakwa telah mendapatkan kontrak untuk kroni dan anggota keluarganya dengan menulis surat sokongan menggunakan surat rasmi seorang anggota exco.

Dilaporkan, ahli majlis berkenaan yang telah dilantik selama tiga penggal itu berjaya mendapatkan beberapa projek melalui kegiatan itu.

Bercakap selepas satu sesi dialog di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam hari ini, Khalid berkata, beliau berasa malu kerana hasil siasatan itu dibocorkan -- sehingga mendapat liputan akhbar.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan menjalankan satu audit berhubung kejadian tersebut dan siasatan lanjut perlu dijalankan sebelum mengambil apa-apa tindakan ke atas individu terlibat.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, pemimpin DAP negeri termasuk exco Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu masih enggan membuka mulut bagi menjelaskan kejadian tersebut.-mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud