Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkata Umno juga mempersendakan nilai-nilai adab dan kebudayaan serta menggunakan pendekatan condong dalam mendefinasi serta penerapan nilai-nilai moral.
Sehubungan itu, katanya adalah penting bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk membangunkan semula negara ini melalui keikhlasan dan suara hati mereka dengan memberikan peluang kepada kepimpinan Pakatan Rakyat dalam usaha mereka membentuk negara Malaysia yang lebih baik.
Beliau berkata demikian di pelancaran "Friends of Pakatan Rakyat" di Hotel Conway, Holborn London, semalam yang turut yang dihadiri oleh kumpulan aktivis masyarakat, wakil parti gabungan Pakatan Rakyat.
"Walaupun keadaan tampak murung, namun adalah wajar bagi semua pihak memahami baik dan buruknya keadaan yang sedang dialami dalam perjuangan merubah untuk masa depan yang lebih baik dan Pakatan Rakyat berikrar akan membawa keharmonian sebenar kepada Malaysia," katanya ketika berucap di forum berkenaan.
Menurutnya, Perlembagaan sedia ada di negara ini disematkan untuk visi politik masa hadapan yang dibentuk untuk memastikan sistem periksa dan imbang bagi mengendalikan secara adil konflik kepentingan individu, masyarakat dan negara namun dewasa ini, ianya telah dicemari oleh kumpulan yang berpengaruh serta berkuasa yang mempunyai kepentingan tersendiri.
Zaid juga menyentuh tentang krisis kehakiman pada 1988 sebagai contoh kepada antara tindakan yang menyebabkan Perlembagaan dicabuli dan secara tidak langsung telah melemahkan semangat Perlembagaan yang didukung di negara ini.
"Negara yang mengkompromikan semangat Perlembagaan akan membuka laluan untuk menghancurkan negara tersebut. Negara kita sekarang adalah sebuah negara yang sakit - badan yang penting dalam institusi negara semuanya berada dalam keadaan yang parah.
"Hari ini kita berada di dalam situasi sesat kerana kita sakit, dalam semangat kemudian secara fizikal, dan ubat yang diberikan oleh BN kepada institusi-institusi berkenaan adalah Fasisme," tambah beliau lagi.
Umno katanya memutarbelitkan adab dengan melaungkan cogankata "Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia" merujuk kepada pahlawan Melayu Hang Tuah sebenarnya mempermainkan nilai budaya dan juga sentimen perkauman.
Menurutnya, Pakatan Rakyat menolak ideologi supremasis kerana gagasan itu menghargai kebudayaan pelbagai kaum kerana ia adalah yang dituntut oleh adab yang sebenarnya dengan memahami apakah dia adab dari segenap sudut.
Beliau menambah keruntuhan pada asas utama bermula daripada institusi-institusi utama kerajaan negara ini di bawah pimpinan Umno dan ia bukan permasalahan atau dilema yang dihadapi oleh kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan tetapi masalah negara.
"Bagaimanapun, Umno mahu kaum Melayu mempercayai bahawa keadilan boleh berfungsi dengan pemikiran cetek dan kejujuran tidak penting asalkan sesuatu bangsa itu terselamat. Jelas sekali ini bertentangan dengan adab kita.
"Kelangsungan hidup yang dicanangkan (Umno) adalah jenis kelangsungan hidup yang paling jahat dan biadap dan langsung tidak berfungsi serta tidak akan berjaya untuk masyarakat atau negara," kata Zaid.
Umno, katanya bersuara untuk kaum Melayu seolah-olah kaum terbabit akan menjadi semakin miskin tanpa mereka.
Mereka juga mendakwa berjuang untuk Melayu namun sebenarnya apa dan siapakah yang diperjuangkan yang menjadi persoalan. - SK