Bekas menteri besar yang terkenal dengan anugerah penyapu itu kelihatan tiba sebaik selepas doa pembukaan dewan selesai dibacakan.
Kehadiran beliau disambut oleh beberapa orang sahaja wakil pembangkang, Datuk Subahan Kamal (Taman Templer) juga tidak menyambut Khir.
Dikatakan juga Umno Selangor sekarang ini sedang menghadapi krisis dalaman sehingga Setiausaha Umno Selangor, Datuk Satim Diman tidak hadir mesyuarat parti itu baru-baru ini.
Sepanjang sesi awal pagi tadi, Khir hanya berdiam diri tanpa sebarang perkataan keluar dari mulutnya meskipun ada ruang untuk beliau bangun ketika soal jawab pada ketika itu yang isu alam sekitar termasuk di Wetlands Indah dibangkitkan dan dijawab dengan jelas oleh Exco, Elizabeth Wong.
Menyedari keadaan ini, Adun PAS Lembah Jaya, Haji Khosim Abdul Aziz berkata, kelihatan pemimpin Umno itu hanya berani di luar dewan sahaja, itu ini dan sebagainya tetapi bila berada di dalam dewan, diam mencuka pula dia.
“Sewajarnya jika beliau mempunyai hujah kuat, sila kemukakan segala bantahan dan semuanya di dalam dewan biar berlaku perbahasan dua belah pihak meskipun dalam masa sekejap.
“Ini sekejap pun tidak berani, apatah lagi untuk berbahas secara academia dan fakta di dalam dewan yang mulia ini,” tegas Khosim sekaligus menyatakan sudah terang lagi bersuluh, Khir hanya berani di luar dewan dan di hadapan media.
Adun Meru, Dr Abd Rani Osman pula tidak bersetuju jika ada yang menyarankan agar Khir balik sahaja ke rumah dari diam di dewan, “kasihan dia meskipun lama di dalam Umno tetapi ramai yang tidak suka padanya.
“Adalah lebih baik kita hantar sahaja Khir ini ke Israel untuk membantu rakyat Palestin,” cadang beliau secara berseloroh.
Pada 19 Mei 2009, mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) negeri mencadangkan Dr Mohamad Khir digantung daripada menghadiri sidang Dun dan elaun sebagai Adun selama setahun selepas didapati bersalah menghina Dewan kerana gagal hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Keteluasan (Selcat) pada Mac 2010.
Selcat ditubuhkan dengan bidang kuasa Dun bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung pengunaan wang penajaan mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selaadaangor (BALKIS).
JKHK turut mencadangkan empat Adun iaitu Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (BN-Hulu Bernam), Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) dan Datuk Warno Dogol (BN-Sabak) digantung daripada menghadiri sidang Dun dan kemudahan elaun mereka digantung selama enam bulan bagi kesalahan menghina Dewan.
Pertengahan Julai 2009, setelah menimbang semua pandangan Khir dijatuhkan hukuman selama setahun oleh Speaker Teng Chang Kim dan berakhir hari ini.
Sementara itu, sekitar 200 penyokong BN terdiri daripada Pemuda Umno, Perkasa dan GPMS membuat demo di hadapan pintu masuk kawasan Bangunan SUK di mana sidang dewan berlangsung bersebelahan dengannnya.
Mereka merempuh benteng pihak keselamatan dan keadaan tenang bila Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Ghazali, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Pengerusi Perkasa Selangor, Abdullah Mansor dapat menyerahkan memo kepada Setiausaha Eksekutif Menteri Besar, Azman Abidin sekitar 11.30 pagi.
Dalam pada itu, penyokong Pakatan Rakyat pula berhimpun di hadapan kumpulan demo yang mewakili Skuad Komunikasi Selangor yang diketuai Pengarah Penerangan Kerajaan Selangor, Ustaz Badrul Amin Baharon.