Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh naik angin berikutan dakwaan bahawa polis menyembunyikan fakta mengenai kes wanita Penan dirogol di Ulu Baram, Miri yang dinafikan dengan sekeras-kerasnya.
"Apabila ditanya soalan macam ini, saya jadi agak emosional. Polis tidak sembunyikan fakta. Daya usaha kita dah buat tetapi masalahnya, mangsa tidak memberi kerjasama yang sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulan agensi persekutuan di ibu pe jabat kontinjen polis Sarawak di Kuching hari ini.
"Soal sembunyi fakta tidak timbul. Ini adalah kes rogol. Ia melibatkan masa depan, maruah dan harga diri orang lain. Adakah anda menyangka polis siasat dengan main-main?," katanya dengan nada yang marah.
Sambil mengkritik tindakan Penan Support Group yang mendakwa lebih ramai wanita Penan dirogol dan didera secara seksual, Mohmad berkata tindakan tersebut sengaja mencemar imej polis Sarawak.
"Sekiranya berlaku (kes wanita Penan dicabul atau dirogol), datanglah ke balai polis untuk membuat laporan supaya kita boleh menyiasat dan bukan mengeluarkan laporan di bangunan Parlimen dan menggambarkan polis tidak efisien. Saya rasa ini tidak betul," katanya.
Mengenai dakwaan terkini bahawa tujuh lagi wanita Penan dirogol atau didera secara seksual, Mohmad berkata setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mangsa atau mana-mana pihak.
"Datang buat laporan polis agar kita boleh membuat siasatan lanjut. Kami lebih tahu bagaimana untuk siasat," katanya.
Beliau sekali lagi memberi jaminan polis akan menyiasat laporan yang dibuat dan ia "tidak akan dibuat sambil lewa" dan "ini adalah janji pasukan PDRM".
Semalam, Penan Support Group yang terdiri daripada 36 badan bukan kerajaan (NGO) mengeluarkan laporan bertajuk "A Wider Context of Sexual Exploitation of Penan Women and Girls in Middle and Ulu Baram, Sarawak."
Laporan itu mendedahkan tujuh lagi wanita Penan yang mendakwa diri mereka dirogol atau didera secara seksual oleh pekerja balak berikutan misi mencari maklumat oleh kumpulan tersebut pada November tahun lalu.
Pada tahun lealu, Bruno Manser Foundation dan sebuah akhbar tabloid melaporkan bahawa wanita Penan dirogol dan didera secara seksual oleh pekerja balak di Ulu Baram.
Polis yang membuat siasatan ke atas kes tersebut telah berkunjung ke sembilan penempatan Penan dan kem balak serta mengambil keterangan daripada 72 saksi namun menemui jalan buntu berikutan kekurangan bukti dan kerjasama daripada mangsa.
malaysiakini