ARTIKEL SEBELUM

31/07/10

“hubungan romantis” Saiful dan Farah tak dapat disahkan


KUALA LUMPUR, — Jabatan Peguam Negara tidak dapat mengesahkan pelbagai tohmahan berhubung “hubungan romantis” timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diwarkan dalam media sejak awal minggu lalu.

Bagaimanapun menurut Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, perkara tersebut telah dibawa kepada pengurusan tertinggi Jabatan Peguam Negara.

“Perkara ini akan dibuat siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil,” kata beliau dalam surat respons yang dihantar kepada peguam Anwar, Sankara Nair hari ini.

Sankara meminta penjelasan Jabatan Peguam Negara sementara kes itu akan disambung semula Isnin ini.

Mohd Yusof berkata Farah Azlina juga hanya menganggotai pasukan pendakwaan pada 20 Januari lalu dan hanya berperanan mengambil nota keterangan dalam perbicaraan kes Anwar.

Oleh itu kata beliau, Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang lain.

Pada Selasa lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan Saiful (gambar) yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Selain itu, Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama.

Laporan media sejak awal minggu lalu mendakwa hubungan Farah Azlina dan Saiful.

Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

Katanya, Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

Gani berkata pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud