KUANTAN: Seorang wanita cedera parah setelah disimbah cuka getah oleh suaminya sendiri yang dipercayai mabuk di kawasan perumahan pekerja estet Kemasul Mengkarak dekat Bera, semalam. Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata dalam kejadian pada 7 pagi itu, mangsa, seorang penoreh getah berusia 22 tahun, diminta oleh kakaknya ke pejabat pengurusan estet berkenaan untuk memohon cuti kerana mereka mahu ke kuil.
Bagaimanapun, katanya kira-kira setengah jam kemudian, kakak mangsa mula berasa hairan setelah adiknya itu tidak pulang.
"Kakak mangsa kemudian pergi mencari adiknya, namun terkejut selepas melihat adiknya itu dikejar dan disimbah cuka getah oleh suaminya sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, mangsa yang berkeadaan separuh bogel setelah seluarnya reput disimbah cuka getah mengalami kecederaan parah dari paras pinggang ke bawah.
Bagaimanapun, kata Noor Asyikin, suami mangsa berusia 32 tahun turut melecur di bahagian perut, dada serta tangan kanan selepas terjatuh sebelum terkena cuka getah yang dibawanya.
Katanya mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)Kuantan berikutan keadaannya yang kritikal manakala suaminya dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.